Khamis, 11 Disember 2014 | 7:48pm

Najib, Aquino adakan mesyuarat dua hala di Busan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Filipina Benigno Aquino ketika menghadiri mesyuarat Kerjasama ASEAN-ROK (Korea Selatan) di Busan, Korea hari ini. - Foto BERNAMA

BUSAN, Korea Selatan: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Filipina, Benigno S Aquino III di luar Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan di sini, hari ini.

Kedua-dua pemimpin itu membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan isu multilateral serta hal-hal kepentingan bersama.

Najib yang tiba di sini hari ini, sedang dalam lawatan dua hari bagi menghadiri sidang kemuncak itu bagi memperingati ulang tahun ke-25 hubungan dialog ASEAN-Korea Selatan.

Sidang kemuncak itu menyediakan peluang kepada ASEAN dan Korea Selatan untuk menilai dan memperkasakan skop perhubungan sedia ada dengan mengenal pasti bidang-bidang kerjasama yang boleh diperluaskan pada tahun-tahun akan datang.

Pemimpin ASEAN dan Korea Selatan juga dijangka menerima pakai dua hasil dokumen iaitu Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak Peringatan 25 Tahun Hubungan ASEAN-Korea Selatan dan Laporan Eksekutif Pelan Tindakan ASEAN-Korea Selatan (2011-2015).

- BERNAMA

Berita Harian X