Isnin, 26 Disember 2016 | 9:41am

Amaran hujan lebat peringkat jingga hingga Rabu

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mencerap Taufan Nock-Ten, pagi ini, kira-kira 918 kilometer (km) ke timur laut Pitas, di Sabah.

MetMalaysia melalui laman web yang dikemas kini pada jam 6.15 pagi tadi, melaporkan Nock-Ten yang dicerap pada jam 5 pagi itu berada di latitud 13.4 Utara dan longitud 122.0 Timur, kira-kira 179km ke tenggara Manila, Filipina.

"Taufan (Nock-Ten) bergerak ke arah barat dengan kelajuan 20 kilometer sejam (km/j).

"Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 km/j dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter di kawasan perairan Laut China Selatan," katanya.

Sementara itu, MetMalaysia memaklumkan amaran hujan lebat peringkat jingga yang dikeluarkan semalam, masih berkuat kuasa dan dijangka berterusan hingga Rabu ini.

Kawasan yang terbabit adalah di Daerah Maran, Bera, Rompin, Pekan, Kuantan dan Jerantut di Pahang dan seluruh Terengganu, dengan hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana lebat.

Kelantan turut dijangka mengalami hujan lebat bermula hari ini sehingga Rabu.

Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama yang dikeluarkan pada 22 Disember lalu, ditingkatkan kepada kategori kedua, dengan angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 km/j dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Condore dan Reef North sehingga Sabtu ini.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

"Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kms/j dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter juga dijangka berlaku di kawasan perairan Samui, Layang-Layang dan Palawan sehingga Sabtu ini.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut," katanya.

Ribut petir dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini di perairan Selat Melaka Utara, Tioman, Bunguran, Kuching dan Reef North, menyebabkan angin kencang sehingga 50 km/j dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter, berbahaya kepada bot kecil.

Bagi perairan Malaysia pula, ribut petir di perairan Pahang, Johor timur dan Sarawak juga dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini.

Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 km/j dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter serta berbahaya kepada bot kecil.

Berita Harian X