Isnin, 26 Disember 2016 | 2:13pm

Misi Mencari Abang Ram belum temui petunjuk


KHAFIZ Bachok.

KUALA LUMPUR: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia, Ramli Abd Majid, yang hilang di Gunung Damavand, Iran, sejak lebih sebulan lalu akan dibincangkan dengan pihak Kedutaan Malaysia di Tehran dan pasukan pencari, Red Cresent, hari ini.

Ketua Ekspedisi, Khafiz Bachok, berkata mereka akan berbincang mengenai beberapa kemungkinan kedudukan mangsa supaya usaha mencari lebih fokus.

"Kami sudah sampai di tempat Allahyarham Syed Redzuan Syed Salim Shatri, dipercayai terjatuh pada ketinggian 4,100 meter pada hari ketiga operasi mencari.

"Bagaimanapun, kami terpaksa berpatah balik kerana keadaan cuaca buruk. Hari ini akan berbincang dengan pihak kedutaan dan Red Cresent mengenai usaha mencari," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Khafiz bersama rakan pendaki, Muhamad Aliff Abdullah, 29, memulakan misi 'Mencari Abang Ram' pada 21 Disember lalu.

Pencarian itu adalah ikhtiar dan alternatif pendaki Malaysia sementara menunggu misi SAR oleh Red Cresent disambung semula selepas yang ditangguhkan kerana faktor cuaca.

Berita Harian X