Isnin, 26 Disember 2016 | 2:35pm
PELAKON, Ainul Aishah Azizun. - Foto Aziah Azmee

Ainul Aishah takkan berhenti jual biskut


AINUL mula menjual biskut jenama A Cookies hasil air tangan sendiri sejak tiga tahun lalu. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Sibuk berkejar ke lokasi penggambaran telefilem dan drama termasuk teater sulung, Puteri La Galigo menyebabkan perniagaan biskut milik pelakon, Ainul Aishah, 31, terhenti seketika.

Mula menjual biskut jenama A Cookies hasil air tangan sendiri sejak tiga tahun lalu, Ainul berjanji akan memberi tumpuan kepada perniagaannya itu mulai 2017.

"Disebabkan sibuk berlakon, saya tak boleh beri tumpuan kepada perniagaan biskut hingga terpaksa menolak tempahan.

"Tapi saya takkan tinggal perniagaan ini. Saya sudah sebati dan suka membuat biskut. Kali ini saya akan 'all out' menjual semula biskut saya," katanya kepada BH Online.

Ainul yang merancang membuat biskut di rumah saja, berkata sebelum ini dia mempunyai pelabur untuk projek terbabit dan premis untuk menyediakan biskut.

"Kali ini, jika tiada sokongan pelabur, saya akan buat biskut di rumah saja," katanya yang juga merancang mengeluarkan koleksi pakaian Aidilfitri bersama rakan kongsi, tidak lama lagi.

Ainul yang menjual ais krim yogurt Tutti Fruitti beberapa tahun lalu, sedar usahawan sepertinya perlu berani bersaing dengan peniaga lain.

Mengenai dunia seni, Ainul yang sudah 10 tahun menjadi pelakon, gembira drama Lara Aishah yang sedang disiarkan membuatkan namanya diingati semula.

Drama Lara Aishah sebanyak 1oo episod diarahkan Riza Baharudin. Ia diadaptasikan daripada siri telenovela Mexico popular berjudul La Loba.

Drama ini disiarkan setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang mulai 29 Ogos lalu secara eksklusif di saluran Astro Prima (105) dan siaran serentak di saluran Maya HD (135).

Berita Harian X