PASIR PUTEH: Operasi mencari dua remaja yang hilang di Pantai Tok Bali di sini, sejak tiga hari lalu diperluaskan sehingga tujuh batu nautika dari pesisir pantai.
Ketua Pegawai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustophar, berkata operasi disertai 170 anggota daripada 11 agensi serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, solat hajat turut diadakan malam tadi yang disertai Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
"Cuaca semakin baik hari ini dan ini akan membantu usaha mencari mangsa," katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.
Ahmad Haziem Anizam, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram di sini, dan Amir Azfar Rafar, 13, pelajar SMK Dato' Ismail, hilang ketika mandi bersama dua lagi rakan mereka, kira-kira jam 4.30 petang Sabtu lalu.
Dua rakan mereka yang terselamat ialah Muhammad Firdaus Mustapha, 16, dan Amir Shahir Zakima, 14, pelajar SMK Jeram.