Selasa, 27 Disember 2016 | 8:38pm
Gunung Damavand, Iran. - Foto Iran Daily

1 lagi pendaki Malaysia dipercayai sudah meninggal

Perbincangan bersama Persatuan Bulan Sabit Merah dan First Secretary Kedutaan Malaysia di ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Iran di Tehran.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (Iranian Red Cresent) berkata pendaki Malaysia, Ramli Abd Majid yang hilang di Gunung Damavand, Iran sejak 20 November lalu, dipercayai sudah meninggal dunia.

Maklumat berkenaan diterima oleh Kedutaan Besar Malaysia di Iran dan kumpulan ekspedisi dalam pertemuan dan perbincangan mengenai usaha mengesan Ramli, 44, di ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Iran di Tehran, hari ini.

Ketua Ekspedisi, Khafiz Bachok, berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa yang berakhir tiga hari lalu, akan diteruskan semula pada Mac ini selepas musim sejuk berakhir.

"Dalam perbincangan ini, pihak Iranian Red Cresent membentangkan usaha yang sudah dilakukan dari awal hingga sekarang dan menjelaskan risiko yang terpaksa dilalui akibat keadaan cuaca yang buruk.

Perbincangan bersama Persatuan Bulan Sabit Merah dan First Secretary Kedutaan Malaysia di ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Iran di Tehran.

"Ramli dipercayai terjatuh di Lembah Yakhar Glasier berpunca daripada keadaan angin yang bertiup kuat dari arah Barat dan Timur," katanya dalam kenyataan melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh Bulan Sabit Merah Iran, kebanyakan kes orang hilang ketika mendaki gunung berkenaan akan berakhir di Yakhar Glasier.

"Sebelum ini, di lembah sama, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, pada 28 November, yang dipercayai terjatuh dari ketinggian 4,100 meter," katanya.

Kedua-dua mangsa itu adalah antara lapan pendaki yang memulakan pendakian ke puncak gunung berkenaan pada 20 November lalu.

Bagaimanapun, Syed Redzuan dan Ramli, bertekad menyertai seorang pendaki Turki ke puncak walaupun dinasihati untuk turun. Mereka dilaporkan hilang pada keesokan harinya.

Berita Harian X