Rabu, 28 Disember 2016 | 6:06am
PERMINTAAN domestik dijangka terus memacu ekonomi negara pada tahun depan. - Foto Yazit Razali

Ekonomi negara terus berkembang di sebalik ketidaktentuan luaran

EKONOMI negara ini terus mencatat pertumbuhan pada 2016 dan masih kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan luaran.

Memang tidak dapat dinafikan, sebagai negara pengeksport dan ekonomi yang terbuka, Malaysia tidak dapat mengelak menerima tempias pertumbuhan perlahan ekonomi global, kejatuhan berterusan harga minyak mentah dunia serta harga komoditi lain.

Justeru, ekonomi negara ini berkembang 4.2 peratus dalam tempoh sembilan bulan tahun ini berbanding 5 peratus yang dicatatkan bagi keseluruhan 2015.

Kepelbagaian asas ekonomi berserta pergerakan tukaran asing yang fleksibel menjadi penampan kepada ekonomi benar daripada kejutan harga komoditi sementara pasaran kewangan matang dan kukuh membantu dalam menyerap ketidaktentuan pasaran kewangan global.

Prestasi lebih baik

Pada suku pertama 2016, ekonomi negara berkembang 4.2 peratus dengan pertumbuhan terus dipacu oleh sektor ekonomi utama. Namun, eksport bersih yang terus merosot dan pengeluaran stok yang tinggi menyebabkan ekonomi berkembang 4 peratus pada suku kedua tahun ini.

Bagaimanapun, ekonomi negara ini melonjak semula pada suku ketiga dengan mencatat pertumbuhan 4.3 peratus, sekali gus menjadi suku tahunan terbaik dari segi kadar pertumbuhan setakat ini bagi 2016. Prestasi memberangsangkan itu disokong oleh peningkatan berterusan perbelanjaan sektor swasta dan sokongan tambahan eksport bersih.

Prestasi suku ketiga yang baik itu juga menjadikan sasaran kerajaan untuk mencapai pertumbuhan antara 4 hingga 4.5 peratus bagi keseluruhan 2016 dilihat dapat dicapai. Dari segi kedudukan defisit fiskal, negara berada pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran ditetapkan iaitu 3.1 peratus bagi tahun ini meskipun menerima impak pendapatan berkaitan minyak dan gas yang rendah.

Kepelbagaian dalam kutipan hasil kerajaan dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) membantu kerajaan dalam menerima impak kejatuhan harga komoditi utama. Dasar monetari dan pertumbuhan kredit terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara dengan kadar inflasi dijangka mencecah 2 hingga 2.5 peratus bagi 2016.

Walaupun pertumbuhan kredit perlahan tahun ini, masih terdapat kecairan mencukupi dalam sistem kewangan negara untuk menyokong aktiviti ekonomi.

Daripada segi pelaburan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan 3,784 projek bernilai RM150.8 bilion sepanjang tempoh Januari sehingga September tahun ini. Nilai itu, bagaimanapun, 3.7 peratus lebih rendah berbanding RM156.6 bilion tempoh sama tahun lalu, berikutan penurunan jumlah projek diluluskan pada tahun lalu, yang mencecah 3.9 peratus kepada 3,203 projek berbanding 3,334 projek dicatatkan sepanjang tempoh dikaji pada 2015.

Ringgit hadapi tekanan

Mengenai pergerakan ringgit, permintaan terhadap mata wang tempatan terus lemah berikutan harga komoditi yang rendah dan aliran perdagangan dan modal yang terus perlahan. Pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) juga memberi tekanan kepada ringgit dan juga mata wang utama lain.

Keputusan undian Britain untuk keluar dari Kesatuan Eropah (Brexit), kemenangan Donald Trump pada Pilihan Raya Presiden AS serta langkah Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah, terus mewujudkan ketidaktentuan di pasaran global yang turut memberi tekanan kepada mata wang tempatan.

Malah, jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedah sebanyak tiga kali pada tahun depan juga memperkukuhkan dolar AS, menyebabkan ringgit terus jatuh ke paras terendahnya sejak 1998.

Melangkah ke hadapan, meskipun ketidaktentuan ekonomi global dijangka berterusan tahun depan, ekonomi negara diunjurkan berkembang 4 hingga 5 peratus tahun depan, bersesuaian dengan kedudukan kewangan negara di tengah-tengah pertumbuhan perlahan ekonomi dunia berikutan ketidaktentuan susulan langkah Britain untuk keluar dari EU, perkembangan politik dan kenaikan kadar faedah AS serta pertumbuhan perlahan ekonomi China.

Permintaan domestik dijangka terus memacu pertumbuhan ekonomi pada tahun depan sama seperti tahun ini dan tahun sebelumnya. Pada tahun lalu, 92 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar negara disokong permintaan domestik dan corak aliran ini dijangka berterusan tahun depan.

Kerajaan optimis unjuran pertumbuhan 4 hingga 5 peratus bagi 2017 dilihat mampu dicapai berdasarkan unjuran hasil Kerajaan Persekutuan meningkat 3.4 peratus kepada RM219.7 bilion tahun depan dan perbelanjaan mengurus RM214.8 bilion. Pada masa sama, kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM46 bilion yang memerlukan kerajaan untuk membuat pinjaman. Kerajaan juga terus komited untuk mengurangkan kedudukan defisit fiskal kepada 3 peratus tahun depan.

Berita Harian X