Rabu, 28 Disember 2016 | 11:06am

Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit, pagi ini didorong oleh minat dalam saham wajaran tinggi terpilih diterajui Maybank dan IOI Corp.

Pada jam 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan 1.0 mata lebih baik pada 1,620.68 daripada penutup semalam iaitu 1,619.68. Indeks itu dibuka 1.21 mata lebih tinggi pada 1,620.89.

Maybank dan IOI Corp masing-masing meningkat empat sen kepada RM7.79 dan RM4.43.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 75-36, dengan 95 kaunter tidak berubah, 1,549 tidak diniagakan dan 49 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 39.037 juta saham bernilai RM14.674 juta.

JX Apex Research berkata, bursa tempatan akan kekal mendatar di sebalik jumlah dagangan kecil.

Dalam kalangan saham mewah, TNB, Petronas Chemicals dan Sime Darby meningkat dua sen kepada RM13.64, RM6.90 dan RM8.09.

Bagi saham aktif, Kuantan Flour Mills naik enam sen kepada 15 sen, KNM menokok satu sen kepada 34 sen, manakala Perisai Petroleum dan Netx masing-masing tidak berubah pada 7.5 sen dan dua sen.

Dalam kalangan kaunter rugi, Public Bank susut empat sen kepada RM19.64, Telekom Malaysia jatuh tiga sen kepada RM5.96, manakala Padini dan Axiata masing-masing turun dua sen kepada RM2.56 dan RM4.50. - BERNAMA

Berita Harian X