Rabu, 28 Disember 2016 | 11:16pm

Transaksi mudah tunai FX catat peningkatan

Bank Negara Malaysia.
Bank Negara Malaysia.

KUALA LUMPUR: Mudah tunai dalam pasaran pertukaran asing (FX) tempatan mencatat jumlah purata harian kira-kira AS$9 bilion bagi semua transaksi FX menjelang akhir 2016 berbanding purata AS$8 bilion bagi tempoh Januari-November 2016.

Gangguan daripada pasaran kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) juga sudah reda, demikian menurut Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC), Bank Negara Malaysia dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, berlatarbelakangkan dolar Amerika Syarikat (AS) yang semakin kukuh dan persekitaran terus tidak menentu, purata pergerakan harian ringgit sekitar 90 mata berbanding 228 mata pada November dan paras tertinggi 600 mata (diukur bersandarkan perbezaan antara kadar pertukaran tertinggi dan terendah dalam pasaran antara bank pada hari itu).

Aliran FX terdiri daripada penawaran dan permintaan semua peserta utama, termasuk pengeksport/pengimport, berkaitan portfolio dan pelaburan langsung.

"Memandangkan permintaan dan penawaran dolar AS/ringgit dijajarkan semula, pasaran FX tempatan akan lebih stabil dan membawa kepada kos perlindungan nilai yang lebih baik serta memudahkan perniagaan mengurus risiko FX mereka," katanya.

FMC menambah, pasaran memberi tindak balas positif berhubung rangka kerja lindungan nilai pengurus dana yang membenarkan pengurus dana mengurus secara aktif sehingga 25 peratus portfolio yang dilaburkan.

Setakat ini, 10 pengurus dana terdiri daripada pemastautin dan bukan pemastautin sudah mendaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) bernilai RM41.8 bilion.

"Pengurus dana sudah mula menggunakan fleksibiliti ini," tambah jawatan kuasa berkenaan.

Dalam pasaran bon sekunder, aliran dua hala terus dicatat daripada pelabur pemastautin dan bukan pemastautin dengan tebaran tawar-bida purata sebanyak tiga mata asas bagi tanda aras sekuriti.

Katanya, aktiviti dagangan kekal kukuh dengan jumlah purata dagangan harian RM4.5 bilion dan jumlah bulan terkini sebanyak RM52.8 bilion.

Syarikat pemastautin mencatat lebihan aliran masuk perdagangan bersih barangan sebanyak RM2 bilion pada Disember 2016 berbanding aliran keluar bersih terkumpul untuk tempoh Januari-November 2016.

Tambahan kepada pengekalan 25 peratus daripada hasil perolehan eksport dalam mata wang asing, pengeksport dibenarkan untuk menukar semula hasil perolehan bagi memenuhi unjuran pinjaman dan obligasi import mereka sehingga enam bulan.

Data Disember menunjukkan kira-kira 57 peratus daripada hasil perolehan sudah ditukar semula bagi tujuan itu. Baki hasil perolehan dalam ringgit akan mendapat pulangan sebanyak 3.25 peratus.

"FMC bersama-sama BNM ingin mengulang sekali lagi komitmen untuk menggalakkan persekitaran pasaran kewangan kondusif dan akan terus bekerjasama dengan peserta pasaran untuk menentukan haluan pada masa depan," katanya.

Berita Harian X