Khamis, 29 Disember 2016 | 9:19am

Bayaran umrah tidak jejas kehadiran jemaah

MAKKAH: Keputusan kerajaan Arab Saudi baru-baru ini untuk mengenakan bayaran sebanyak SAR2,000 (RM2,388) ke atas jemaah yang lebih dari sekali mengerjakan umrah dan haji tidak menjejaskan kemasukan pelawat ke kedua-dua masjid suci di sini sejak permulaan musim Umrah tahun ini.

Bagaimanapun, ramai jemaah haji dan pengendali Umrah meminta pihak berkuasa untuk mengkaji semula keputusan itu.

"Ia adalah satu tamparan hebat kepada pengusaha pakej Umrah," kata seorang ejen syarikat perkhidmatan umrah dari Kerala, yang menghantar beribu-ribu jemaah haji musim ini.

"Kami mendapati agak sukar untuk mendapatkan jemaah kerana bayaran baharu yang dikenakan, sekali gus meningkatkan kos perjalanan Umrah sehingga mencecah Rs36,000 (RM2,363)," kata ejen itu.

Beliau berharap kerajaan Arab Saudi akan menarik balik yuran itu untuk manfaat pengendali Umrah serta perniagaan di negara itu.

Seorang jemaah umrah Malaysia, Zainul Abideen berkata, beliau dan isteri agak kecewa dengan bayaran yang baharu diperkenalkan itu kerana ramai yang tidak mampu untuk mengumpul wang sebanyak itu.

Bagaimanapun beliau faham dan akur bahawa kerajaan Arab Saudi berhak mengenakan bayaran untuk perkhidmatan yang disediakan.

"Walaupun dengan caj SAR300 (RM358) dikenakan bagi setiap jemaah, mereka masih meraih keuntungan besar kerana lebih 7 juta jemaah dari seluruh dunia datang untuk mengerjakan umrah setiap tahun," katanya. - Agensi

Berita Harian X