Khamis, 29 Disember 2016 | 10:55am

Saham Asia jatuh, sejajar dengan kejatuhan di Wall Street

SYDNEY: Saham Asia jatuh hari ini selepas Wall Street susut sedikit sementara dolar Amerika Syarikat (AS) kekal dalam permintaan berikutan hutang kerajaan AS menawarkan premium lebih baik berbanding bon zon euro.

Indeks Jepun Nikkei jatuh 0.7 peratus, indeks utama Australia merosot 0.4 peratus, selepas mencecah paras tinggi dalam 17 bulan pada hari sebelumnya.

Indeks meluas saham Asia Pasifik di luar Jepun, MSCI mencatatkan kejatuhan sebanyak 0.1 peratus.

Kejatuhan di Wall Street berlaku di tengah-tengah jumlah dagangan yang kecil dan mencerminkan kebimbangan mengenai apa yang bakal ditempuh pada Tahun Baharu.

Indeks Dow jatuh 0.56 peratus, sementara Indeks S&P 500 susut 0.84 peratus dan Nasdaq 0.89 peratus lebih rendah.

Boeing jatuh 0.9 peratus selepas Delta Air Lines membatalkan tempahan AS$4 bilion bagi 18 pesawat Dreamliner.

Teknologi adalah menyumbang kepada kejatuhan indeks utama, dengan Nvidia jatuh 6.9 peratus.

Perangkaan jualan rumah yang rendah menjadi penyumbang kepada aktiviti jualan, meskipun secara lazimnya ia hampir tidak mendapat perhatian dalam pasaran.

Kontrak untuk membeli rumah yang sudah dimiliki di AS jatuh pada November ke paras terendahnya dalam tempoh hampir setahun, sekali gus memberi gambaran bagaimana peningkatan kadar gadai janji menjejaskan pasaran rumah di negara itu.

Laporan yang lemah digabungkan bersama permintaan kukuh yang mengejutkan bagi jualan nota Perbendaharaan lima tahun baharu AS memacu rali bon AS yang jarang berlaku.

Hasil bagi nota 10 tahun jatuh ke paras rendah dalam tempoh dua minggu kepada sekitar 2.503 peratus.

Dolar jatuh berbanding yen kepada 117.00 selepas berlegar antara 116.84 dan 117.88 dalam tujuh sesi lalu. - Reuters

Berita Harian X