Khamis, 29 Disember 2016 | 1:00pm

Konstabel ditikam beransur pulih

GOMBAK: Anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman yang parah ditikam seorang lelaki kerana salah faham ketika memesan roti canai di sebuah restoran di Menara A, Kondominium Selayang Point, Batu Caves, Isnin lalu, beransur pulih.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata anggota berpangkat konstabel itu kini stabil, tetapi masih dirawat di Hospital Selayang.

"Anggota itu (mangsa) beransur sihat dan masih menerima rawatan di hospital," katanya ringkas ketika dihubungi BH, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun ditikam hingga perutnya terburai oleh suspek selepas berlaku pergaduhan antara mereka berikutan tindakan suspek didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa.

Berdasarkan siasatan awal, kejadian berpunca selepas mangsa dikatakan tersalah memesan roti canai daripada rakan suspek, kerana menyangka lelaki itu adalah pekerja di restoran terbabit.

Mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek kemudian mengejar lelaki itu sebelum berlaku pergaduhan hingga mangsa ditikam.

Susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki berusia 24 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan dan mereka direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

82 dibaca
Berita Harian X