Jumaat, 12 Disember 2014 | 2:38pm

Pertumbuhan KDNK Malaysia cecah 5.8 peratus pada 2014

KUALA LUMPUR: AllianceDBS Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nyata Malaysia pada sekitar 5.8 peratus bagi tahun ini dan sekitar 5.0 peratus bagi 2015.

Dalam satu nota, firma penyelidikan itu berkata bagi suku keempat 2014, pertumbuhan ekonomi dijangka kekal sederhana pada sekitar 5.0 peratus.

Katanya unjuran itu dibuat berdasarkan kelembapan dalam pengeluaran sektor perkhidmatan dan pembuatan.

"Bagaimanapun, Indeks Pengeluaran Perusahaan (IPI) Oktober berkembang lebih tinggi berbanding jangkaan Bloomberg sebanyak 4.2 peratus," katanya.

Pada Oktober, pertumbuhan pengeluaran perusahaan keseluruhan Malaysia susut kepada 5.0 peratus berbanding 5.4 peratus pada September.

Bagaimanapun, pengeluaran perlombongan meningkat kepada 11.5 peratus bagi tempoh tersebut berbanding 7.1 peratus tahun ke tahun.

Firma penyelidikan berkata pertumbuhan IPI akan berkurangan dalam beberapa bulan akan datang sejajar dengan jangkaan kelembapan dalam aktiviti ekonomi.

Sementara itu, Affin Hwang Investment Bank mengunjurkan pertumbuhan KDNK yang perlahan sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun pada separuh kedua 2014, susut kepada 4.5 peratus pada separuh pertama 2015 sebelum pulih kepada 5.5 peratus pada separuh kedua.

"Perbelanjaan pengguna juga tidak mungkin perlahan dengan ketara, berikutan bantuan tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pengurangan dalam cukai pendapatan individu dan peningkatan dalam pendapatan boleh guna, disokong oleh prospek pekerjaan yang lebih baik dan pertumbuhan pendapatan yang berterusan," kata firma penyelidikan.

Ia juga berkata pertumbuhan eksport yang sihat, dengan peruntukan lebih tinggi bagi perbelanjaan pembangunan, akan mengurangkan kelembapan ekonomi, terutama dalam penggunaan swasta dan pelaburan swasta.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata berdasarkan penurunan mendadak harga minyak global, ia telah mengurangkan unjuran KDNKnya bagi 2015 kepada 4.8 peratus berbanding 5.0 peratus sebelum ini.

"Kami turut mengekalkan pandangan kami bahawa Bank Negara Malaysia akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman tidak berubah pada 3.25 peratus sepanjang 2015," kata HLIB Research. - BERNAMA

Berita Harian X