Khamis, 29 Disember 2016 | 3:41pm

5 pasangan termasuk pelajar ditahan JAIM

MELAKA: Lima pasangan termasuk dua pelajar perempuan berusia 16 tahun ditahan dalam operasi membanteras maksiat di dua rumah di sekitar Tengkera dan Bukit Katil, di sini, pagi kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Rahimin Bani, berkata kedua-dua pelajar sekolah menengah itu antara lima pasangan berusia 16 hingga 22 tahun yang ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh.

Beliau berkata, tangkapan pertama dilakukan sepasukan tujuh anggota pihak berkuasa itu di sebuah rumah pangsa disewa sekumpulan lelaki di Tengkera, kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, ketika ditahan seorang daripada empat pasangan berkenaan mendakwa ingin terjun melalui tingkap untuk melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa.

"Tangkapan kedua kira-kira setengah jam kemudian pula membabitkan pasangan kekasih berusia 18 dan 19 tahun yang bersekedudukan di sebuah rumah di Bukit Katil.

"Wanita itu mendakwa teman lelakinya datang ke rumah dengan alasan hendak menumpang membasuh pakaian," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Rahimin berkata, semua mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah 1991 atas kesalahan bersekedudukan dengan bukan mahram.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 bagi lelaki, manakala RM2,000 bagi wanita atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Berita Harian X