Khamis, 29 Disember 2016 | 4:05pm
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

AKSEM rampas 300 mercun RM300,000

KOTA BHARU: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan merampas 300 kotak mercun pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM300,000, hari ini.

Rampasan itu dibuat pada jam 9.35 pagi tadi di Jalan Kampung Air Banun, Lebuhraya Timur-Barat, Gerik, Perak oleh lapan anggota AKSEM yang diketuai Komander negeri, Mohd Asri Yahya.

Mohd Asri berkata, pihaknya menerima maklumat awam sebelum mengesan dua lori dalam keadaan mencurigakan di lokasi terbabit.

"Kedua-dua pemandu lori berjaya melarikan diri dan meninggalkan kenderaan masing-masing di bahu jalan.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua kenderaan itu mengangkut 300 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis seberat 7,000 kilogram.

"Kami percaya barangan itu diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram di sekitar Bukit Bunga, Jeli untuk pasaran Pantai Barat sempena Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang nanti," katanya.

Semua mercun dan bunga api termasuk kenderaan dirampas dibawa ke pejabat AKSEM Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Kes itu diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 atas kesalahan mengangkut barang larangan.

Mohd Asri berkata, jika sabit kesalahan kali pertama, seseorang itu boleh didenda oleh mahkamah antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X