Khamis, 29 Disember 2016 | 5:51pm

Kerajaan DAP Pulau Pinang tangguh tambak laut


EXCO Kerajaan Tempatan, Tebatan Banjir dan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow. - Foto Amir Irsyad Omar

BUTTERWORTH: Kerajaan DAP Pulau Pinang, hari ini mengumumkan penangguhan semua cadangan tambakan laut baharu sehingga Kajian Impak Alam Sekitar (DEIA) dan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) menyeluruh disiapkan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Tebatan Banjir dan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow, berkata penangguhan itu dibuat selepas pihaknya menerima nasihat daripada Kerajaan Persekutuan, yang mahu laporan DEIA dan EIA diserahkan terlebih dahulu.

Katanya, pihaknya terpaksa akur dengan arahan berkenaan, yang turut meminta semua projek tambakan baharu ditangguh, selain berjanji tidak akan melaksanakan apa-apa projek yang bercanggah dengan undang-undang sedia ada.

"Setiap prosedur bagi kerja tambakan laut ini dibuat berdasarkan garis panduan ditetapkan mengikut undang-undang. Kita akan menyiapkan segera laporan EIA bagi diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Kami beri jaminan tidak akan memulakan sebarang projek, sama ada tebus guna tanah atau Transit Aliran Ringan (LRT) hingga menerima kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan," katanya pada sidang media.

Kelmarin, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meminta kerajaan DAP Pulau Pinang menghentikan semua projek tambakan laut bagi membolehkan jawatankuasa khas menyiapkan laporan DEIA dan EIA terlebih dahulu.

Awal bulan ini, BH mendedahkan projek tambakan laut besar-besaran bagi membentuk tiga pulau buatan di Pulau Pinang dengan keluasan lebih 2,600 hektar akan memberi risiko kepada negeri itu, selain turut menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat dalam jangka panjang.

Berita Harian X