Khamis, 29 Disember 2016 | 9:50pm

Kurier penyumbang utama pendapatan Pos Malaysia


Temubual Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh. - Foto NSTP/Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Tahun kewangan semasa berakhir 31 Mac 2017 bakal menjadi tahun penting bagi Pos Malaysia Bhd.

Ini kerana buat pertama kali dalam sejarah korporatnya, pendapatan daripada segmen penghantaran kurier mengatasi pendapatan segmen penghantaran mel, perkhidmatan tradisional penyedia perkhidmatan pos.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Bhd, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata segmen penghantaran kurier di bawah Pos Laju dianggar mencatat pendapatan tidak kurang daripada RM650 juta dalam tahun kewangan ini, mengatasi segmen penghantaran mel.

Senario berkenaan, katanya, menunjukkan industri penghantaran kurier melalui perubahan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, hari ini, penyedia perkhidmatan pos, termasuk Pos Malaysia, berhadapan pertumbuhan pesat e-Perdagangan, teknologi baharu yang menjadikan pembelian secara dalam talian lebih mudah, sekali gus meningkatkan dengan ketara jumlah bungkusan yang dikendalikan.

"E-Perdagangan mengubah cara Pos Malaysia beroperasi hari ini. Dalam era e-Perdagangan, pembeli (penerima) adalah penentu, bukan lagi pengirim," katanya dalam temu bual bersama BH, di sini, baru-baru ini.

Secara tradisionalnya sejak 200 tahun lalu, penyedia perkhidmatan pos adalah pihak yang menerima surat atau barang dan menghantarkannya kepada penerima terakhir.

"Dunia sekarang berubah, semakin kompetitif dan cara bekerja seperti itu lebih sesuai kepada mel (penghantaran surat)," kata Shukrie sambil menambah peningkatan sumbangan segmen penghantaran kurier juga adalah pertama kali dalam sejarah 200 tahun perkhidmatan pos di negara ini.

Beliau berkata, pertumbuhan pesat aktiviti beli-belah dalam talian seperti Amazon.com, Alibaba.com, Shoppee.com.my, 11street.my, Zalora.com.my dan Lazada.com.my, membolehkan pelanggan hari ini membeli hampir apa saja yang mereka inginkan secara dalam talian.

Katanya, daripada pakaian, buku hinggalah kepada peralatan sukan, semuanya kini boleh dibeli secara dalam talian dan barangan berkenaan dihantar kepada pengguna menggunakan kurier.

Jelasnya, Pos Malaysia menawarkan penyelesaian logistik hujung-ke-hujung, yang mana barangan atau bungkusan diambil terus dari kilang ke gudang ke pembeli.

"Dengan adanya rakan perniagaan di peringkat global, kita boleh membuat penghantaran untuk e-Perdagangan di seluruh dunia," katanya.

Sementara itu, jumlah surat yang dikirim berkurangan dengan ketara dan Pos Malaysia perlu melaksanakan transformasi perniagaan.

"Pasukan transformasi e-Perdagangan di Pos Malaysia sedang mengusahakannya. Anda boleh jangka lebih banyak penawaran dalam talian pada masa depan," katanya.

INFO

Pos Malaysia Bhd

* Tonggak perniagaan terbahagi tiga iaitu mel (surat); pos laju (kurier); dan peruncitan (pejabat pos)

* Mulai tahun ini e-Perdagangan dimasukkan sebagai satu lagi tonggak perniagaan.

* Pendapatan segmen e-Perdagangan disumbang oleh bahagian perkhidmatan Pos Laju

* Sebanyak 60 peratus pelanggan Pos Laju adalah pelanggan kontrak yang terbabit sepenuhnya dalam

e-Perdagangan, manakala 40 peratus pelanggan 'walk-in'.

* Catat untung bersih terkumpul RM38.58 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2016, peningkatan 47 peratus berbanding RM26.215 juta pada tempoh sama 2015

* Pendapatan meningkat kepada RM810.992 juta daripada RM789.167 juta.

219 dibaca
Berita Harian X