Khamis, 29 Disember 2016 | 11:53pm

Pekerja kilang lemas di Tanjung Balau


MANGSA lemas, D Usha Letchumi.

KOTA TINGGI: Seorang pekerja kilang wanita, lemas ketika mandi di pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar, di sini, hari ini. 

Dalam kejadian jam 5.45 petang, mangsa D Usha Letchumi, 31, datang ke pantai berkenaan bersama sembilan ahli keluarganya untuk beriadah. 

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berkata mangsa serta beberapa ahli keluarganya kemudian mandi laut dan mereka dipukul ombak kuat.

"Seorang daripada ahli keluarganya menarik mangsa ke tepi pantai dan memberi bantuan pernafasan, namun pembantu perubatan dari Klinik Bandar Penawar mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. 

"Ketika kejadian, laut bergelora dan ombak mencecah kira-kira dua meter tinggi berserta angin kencang," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini. 

Rahmat berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi, di sini untuk dibedah siasat.

Berita Harian X