Jumaat, 30 Disember 2016 | 12:01am

Kahwin bukan tiket Nazim, Bella Dally dedah kisah peribadi

KUALA LUMPUR: Sejak bernikah pada 10 September lalu, jarang pelakon Nazim Othman dan isteri, Bella Dally berkongsi gambar atau rakaman video dalam media sosial.

Tidak hairanlah, timbul pelbagai andaian kononnya pasangan ini sombong, suka berahsia malah ada mulut jahat yang membuat spekulasi ada yang tidak kena dengan perhubungan mereka.

Pada anggapan orang, pasangan pengantin baharu cenderung bercerita atau berkongsi keseronokan selepas menjalin ikatan yang sah, apatah lagi dalam kelompok usia muda yang menjadikan sosial media sebagai medium berkomunikasi.

Namun, memilih untuk tidak terlalu kerap berkongsi gambar dengan isteri tercinta, Nazim mempertahankan prinsipnya yang menyimpan kisah peribadi termasuk dalam bentuk visual mahupun video, bukan untuk dijaja di sana-sini.

Bagi Nazim, setiap kali berkongsi perkembangan terbaharu, keutamaan pasti diberi kepada soal kerja. Teraju utama drama Lara Aishah ini bersyukur kerana isterinya juga mempunyai pendirian sama.

PELAKON Nazim Othman dan isteri, Bella Dally.

NAZIM dan Bella Dally berbulan madu ke Bali, baru-baru ini.

"Sejak dulu lagi, baik saya mahupun Bella jarang berkongsi gambar berdua di laman sosial media.

"Ketika bercinta dan selepas jadi suami isteri, pendirian kami masih sama. Memang bukan cara saya dan isteri untuk memuat naik gambar berdua. Sesekali adalah gambar saya dan isteri dikongsi untuk tatapan umum.

"Kami ada cara sendiri. Dulu ada teman media yang mahu menggandingkan saya dan isteri sebelum kami berkahwin. Ketika itu, saya 'liat' nak melakukannya. Ini kehendak kami, setiap pasangan pasti ada cara berbeza," katanya kepada BH Plus.

Enggan dituduh sombong, Nazim bagaimanapun membenarkan isteri bercerita mengenai perkembangan terbaharu mereka.

"Rasanya cukup setakat itu khalayak perlu tahu. Ini sama seperti kami berkongsi cerita dan detik berkahwin, kisah itu disimpan rapi.

"Sudah berkahwin tak semestinya semua cerita perlu didedahkan," katanya.

NAZIM dan Bella sama-sama berusaha mewujudkan keserasian dan keharmonian dalam rumah tangga.

Isteri rajin memasak

Ditanya kehidupan mereka selepas empat bulan melayari bahtera perkahwinan, Nazim memberitahu, tiada perubahan ketara yang berlaku.

"Nak kata berbeza atau ketara tak adalah sangat. Ia mungkin lebih kepada perasaan dalaman.

"Rasa dalaman itu lebih tepat soal tanggungjawab. Perspektif orang selepas kahwin itu berbeza. Tapi yang mungkin ada yang terlepas pandang bahawa tanggung jawab saya sebagai suami jadi lebih berat dan besar.

"Malah, dosa pahala isteri juga jatuh kepada saya. Insya-Allah, saya akan pikul tanggungjawab itu sebaik mungkin.

"Selebihnya kehidupan kami kini berjalan lancar. Masing-masing belajar untuk menyesuai padan personaliti diri. Membiasakan hidup bersama tinggal sebumbung ini bukan bersifat 'trial and error'," katanya.

Nazim berkata, dia dan Bella sama-sama berusaha mewujudkan keserasian dan keharmonian dalam rumah tangga.

"Isteri saya rajin memasak dan kemas rumah. Paling penting, dia jaga saya dengan baik," katanya.

NAZIM dan Bella belajar untuk menyesuai padan personaliti diri.

Aminkan doa dapat zuriat

Baru-baru ini, pasangan sama padan ini sempat berbulan madu di Bali selama seminggu.

Asyik bertangguh, akhirnya Nazim dan Bella dapat meluangkan masa romantik bersama di lokasi peranginan itu.

"Hajat di hati memang nak pergi ke destinasi yang jauh. Tapi destinasi pilihan kami sedang mengalami musim sejuk ditambah pula dengan jadual kerja.

"Jadi kami hanya pergi ke Bali dan sempat ke Singapura sebelum itu. Kedatangan ke Bali ibarat mengimbau nostalgia menjayakan sesi fotografi pra perkahwinan di sana," katanya.

Nazim berkata, komitmen lapan bulan bersama produksi Global Station untuk penggambaran Lara Aishah membataskan impian untuk mereka berbulan madu di lokasi lebih jauh.

NAZIM mahupun Bella jarang berkongsi gambar berdua di laman sosial media, sejak dulu lagi.

"Sekarang saya sedang bercuti dan dapat berehat selepas penat bekerja. Insya-Allah, kerjaya seni akan bersambung pada 2017," katanya.

Seperti pasangan lain, mereka juga tidak terlepas diajukan soalan 'klise' mengenai anak.

"Seperti putaran, selepas habis cerita kahwin, akan ada yang bertanya pula bila nak timang cahaya mata.

"Selepas dapat anak sulung, akan ditanya pula mengenai perancangan anak kedua. Soal anak ini memang tak boleh dielak. Tapi apabila ada yang ambil berat bertanyakan soal anak, mereka mendoakan. Jadi saya dan isteri mengaminkan doa itu," katanya.

Nazim berkata, sesuai kematangan dirinya, dia tidak tertekan jika ditanya soal zuriat.

"Kita aminkan saja benda yang baik. Daripada satu perspektif, soalan itu memang seperti mendesak. Tapi kita tukarkan ia kepada sudut yang lebih positif seperti doa yang dipanjangkan," katanya.

NAZIM membenarkan isteri bercerita mengenai perkembangan terbaharu mereka.

Bersyukur Lara Aishah dapat sambutan

Mengenai kerjaya seni, Nazim bersyukur drama Lara Aishah yang menggandingkannya dengan Fasha Sandha, mendapat sambutan baik.

"Saya bersyukur kerana rating drama itu bagus. Dengar khabar, pihak produksi dan Astro gembira dengan sambutan yang diterima.

"Jika diikutkan, drama ini disiarkan pada waktu petang, bukannya waktu puncak iaitu sebelah malam. Tapi, alhamdulillah, ia setanding dengan waktu puncak," katanya.

Nazim berkata, dia tidak mengambil kisah drama lakonannya itu menjadi trending.

"Soal drama ini trending di laman sosial atau tidak, saya tak kisah sangat. Tidak 100 peratus drama yang trending itu dipuji, dikecam pun ada. Jadi jangan terlalu seronok kalau filem atau drama itu menjadi trending," katanya.

PASANGAN sama padan ini berbulan madu di Bali selama seminggu.

Biodata
Nama penuh: Nushrul Alif Othman
Nama komersial: Nazim Othman
Asal: Wilayah Persekutuan Labuan
Umur: 32 tahun
Kerjaya: Pelakon, pengacara dan model
Drama: Awan Dania, Manjalara, Asmara, Ponti Anak Remaja, Sapu Tangan Merah, Astana Cinta Aleesa, Gerimis Salju Naminara dan Lara Aishah.
Telemovie: Penggali, Yeop Kaya Ke, Sapu Tangan Merah, Surat Cinta dan Menantu Tip Top.

NAZIM mempertahankan prinsipnya yang menyimpan kisah peribadi termasuk dalam bentuk visual mahupun video, bukan untuk dijaja di sana-sini.
Berita Harian X