Jumaat, 30 Disember 2016 | 6:48am

Transformasi bina bakat berinovatif

FOTO hiasan.

MESYUARAT Majlis Profesor Negara (MPN) berlangsung di Langkawi kebelakangan ini mengupas beberapa isu besar negara. Antara isu dibincangkan ialah cabaran ekonomi, kesejahteraan sosial dan keberkesanan sistem pendidikan negara. Dalam isu ekonomi umpamanya, perimbangan antara pertumbuhan dan agihan perlu diberi perhatian penting kerana tidak semua bentuk pertumbuhan menghasilkan agihan saksama.

Trend semasa menunjukkan walaupun pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang, tetapi agihan dan lompang (gap) antara golongan miskin dan golongan kaya semakin meluas. Akhirnya, ia bakal mencetus ketidakadilan atau resahan kaum.

MPN turut mengupas isu agenda dan dasar keselamatan negara. Kami dimaklumi, dasar keselamatan negara masih bersifat sektoral dan dilaksanakan berdasarkan peranan agensi khusus seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan sektor asas lain.

Dalam konteks ini, MPN diberikan kepercayaan menggubal Dasar Keselamatan Negara bersifat holistik dan terintegrasi. Isu keselamatan makanan, keselamatan awam dan ancaman dari anasir luar perlu ditangani secara bersepadu. Ada isu governans yang masih perlu dihalusi bagi memastikan pelaksanaannya kelak berkesan.

Pelaksanaan pendidikan negara bercelaru

Isu paling menarik dibincangkan dalam pertemuan kali ini ialah sistem pendidikan negara. Walaupun, perjuangan memperkasa pendidikan negara urusan paling asas, ternyata ramai warga yang berpendapat pelaksanaan pendidikan negara masih bercelaru dan tidak mencapai sasaran.

Dua komponen penting ialah Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Keberkesanan pelaksanaan TVET masih sangat rumit kerana pelbagai isu belum diselesaikan. Seperkara yang paling kritikal menghantui pendidikan TVET ialah masyarakat masih melihatnya sebagai pendidikan kelas kedua.

Isu pendidikan STEM telah dikupas dan dibincang dengan meluas oleh pelbagai pihak, terutamanya Kementerian Pendidikan Tinggi, Akademi Sains Malaysia (ASM) dan MPN. Pada masa ini, kurang daripada 20 peratus pelajar mengambil mata pelajaran STEM berbanding sasaran 60 peratus.

Sejak beberapa tahun terakhir ini, kebanyakan program pengajian berasaskan STEM di Universiti Awam tidak diminati atau kekurangan pelajar. Jelasnya, negara Malaysia tidak mungkin berkembang menjadi negara maju jika kekurangan bakat dan kemahiran dalam bidang Sains dan Teknologi.

Beberapa perkara asas telah dikenal pasti kenapa minat pelajar kepada pendidikan STEM merudum, antaranya:

Ibu bapa kurang berminat dan tidak menggalakkan anak mereka belajar dalam pendidikan STEM, kecuali jurusan perubatan dan kejuruteraan. Faktor utama ini berlaku kerana hanya graduan daripada perubatan dan kejuruteraan menjanjikan peluang pekerjaan tinggi dan pendapatan lumayan;

Pelajar juga kurang meminati pendidikan STEM kerana menganggap mata pelajaran susah, pembelajarannya kurang menarik dan membosankan. Tambahan pula, mereka merasakan graduan berkelulusan bukan STEM mampu dapat pekerjaan dan prospek kerjaya yang baik;

Pekerjaan bidang Sains dan Teknologi di Malaysia kurang berkembang, industri tempatan tumbuh berasaskan teknologi luaran, lantaran golongan saintis kurang diperlukan untuk pembangunan teknologi. Ternyata ikon saintis tidak berjaya diserlah, sebaliknya ikon kalangan artis, jutawan dan ahli politik lebih menonjol dan ditonjolkan.

Dunia sudah berubah, bidang sains tulen bukan penyelesai utama masalah masyarakat. Muncul pendekatan baharu bersifat pelbagai bidang seperti Sains Kelestarian, Kesepaduan Nasional, Pengurusan Sumber Asli, Keselamatan Makanan Perubahan Iklim dan Pengurangan Risiko Bencana, semuanya menuntut penyelesaian secara holistik berasaskan ilmu terintegrasi.

Bidang Sains Tulen, Sains Sosial dan Kemanusiaan, Ekonomi, Pengurusan, Perancangan dan Perundangan perlu digembleng untuk menyelesaikan cabaran semasa dan masa hadapan. Cabaran ini menuntut beberapa kelompok ilmuwan yang berupaya membina kepakaran dan kemahiran untuk keperluan berbeza, sebagai contoh Sains dan Teknologi (tradisional), Sains Terintegrasi dan kemahiran menyelesaikan masalah secara bersistem.

Perkasa minda sains

Semua ini perlukan asas pendidikan untuk memperkasa minda sains dan berpendekatan bersistem (holistik). Semua ilmu tradisional, sama ada sains tulen atau sains sosial memerlukan pengetahuan dan kemahiran berfikir secara saintifik.

Masanya sudah tiba, Kementerian Pendidikan membuat transformasi berani. Di Sekolah Rendah dan Menengah umpamanya, pendidikan bukan sekadar menyampaikan kepelbagaian ilmu, tetapi ilmu yang pelbagai digunakan untuk membina perwatakan, sikap, pegangan dan kemahiran anak muda yang bakal meneruskan tradisi kemajuan bangsa dan negara.

Apa yang perlu ditumpukan ialah membina generasi masa depan berfikiran saintifik, berpandangan luas dan terbuka, pandai menterjemah peluang kepada kenyataan, serta berbangga dan cinta kepada tanah tumpah darahnya. Fokus perlu diberikan kepada pembinaan insan berfikiran saintifik. Keupayaan berfikir secara logik, secara mendatar atau selari.

Kemampuan untuk mengupas fenomena, membuat analisis dan sintisis berasaskan fakta dan maklumat pelbagai. Keupayaan untuk membuat keputusan secara rasional dan holistik bagi kepentingan komuniti dan masyarakat sejagat. Kemahiran ini tidak sahaja boleh dibina melalui bidang STEM, tetapi menggunakan semua bidang ilmu lain yang mengamalkan pendekatan berfikiran saintifik.

Berita Harian X