Jumaat, 30 Disember 2016 | 4:42pm

Rogol anak perbuatan keji: Hakim

 

KUALA LUMPUR: Seorang hakim Mahkamah Sesyen menyifatkan tindakan seorang lelaki gelandangan merogol anak kandungnya berusia 16 tahun yang terpisah sejak bayi, selama 11 hari berturut-turut adalah satu perbuatan keji dan terkutuk.

 

Difahamkan, anak mangsa yang tinggal di Sarawak datang ke sini pada 26 Ogos lalu untuk berjumpa bapanya yang terpisah sejak mangsa dilahirkan.

Hakim Datin M Kunasundary berkata, tertuduh sepatutnya melindungi anaknya sendiri tetapi bertindak sebaliknya dengan merosakkan masa depan mangsa.

"Mahkamah tidak dapat membayangkan trauma dihadapi mangsa," katanya selepas menjatuhkan hukuman 80 tahun penjara dan 110 sebatan terhadap lelaki itu yang berusia 38 tahun.

  

Kunasundary berkata, mahkamah juga tidak dapat memaafkan apa yang dilakukan tertuduh dan berharap ia tidak dilakukan lelaki bergelar bapa atau sesiapa saja.

  

Dalam kes terbabit, tertuduh mengaku salah atas 11 pertuduhan rogol dan satu pertuduhan melakukan seks oral terhadap anaknya di antara 27 Ogos dan 7 September lalu di sebuah premis di Lorong Haji Taib, di  sini, mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan.

 

Pertuduhan bagi seks oral pula adalah mengikut mengikut Seksyen 377C kanun sama dan sabit kesalahan boleh dihukum maksimum penjara 20 tahun dan sebat. 

 

Kunasundary memerintahkan tertuduh dihukum penjara 80 tahun dan 110 sebatan bagi 11 pertuduhan rogol serta satu pertuduhan seks oral.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

336 dibaca
Berita Harian X