Sabtu, 31 Disember 2016 | 10:09am

Putin tolak andaian akan berlaku 'balas dendam'

PRESIDEN Russia, Vladimir Putin. - Foto AP
PRESIDEN Russia, Vladimir Putin. - Foto AP

MOSCOW: Presiden Russia Vladimir Putin menolak andaian akan berlaku 'balas dendam' selepas 35 diplomatnya diusir ketika negara itu dituduh menceroboh pilihan raya Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Putin berkata, Russia tidak akan 'tunduk' kepada taraf 'diplomasi tidak bertanggungjawab' malah akan berusaha untuk memulihkan hubungan dengan AS ketika ia sudah berada di bawah pentadbiran Presiden baharu dipilih, Donald Trump.

Tindakan Putin itu mendapat pujian Donald Trump yang menyifatkan ia sebagai satu tindakan 'bijak' kerana tidak 'membalas dendam'.

Negara itu menafikan terbabit dalam tindakan menggodam sistem Pilihan Raya Amerika Syarikat dan menyifatkan tuduhan itu sebagai 'tidak berasas'.

Perdana Menteri Dmitry Medvedev menyifatkan tindakan pentadbiran Amerika Syarikat di bawah Presiden Barack Obama umpama sebuah 'pengakhiran ngeri anti-Russia'.

Semua 35 diplomat Russia yang berada di Kedutaan Russia di Washington dan konsulatnya di San Francisco diisytiharkan sebagai 'persona non grata' dan diberi masa 72 jam untuk meninggalkan AS bersama keluarga mereka.

Dua bangunan yang dikatakan digunakan perkhidmatan perisikan Russia di New York dan Maryland turut ditutup pada Jumaat.

Sekatan diumumkan terhadap sembilan entiti dan individu termasuk dua agensi risikan Russia iaitu Agensi Risikan Utama (GRU) dan Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB).

Obama yang bakal digantikan Donald Trump pada 20 Januari depan berikrar bertindak terhadap Russia ketika AS menuduh negara itu mengarahkan serangan siber dilakukan terhadap Parti Demokratik dan kempen Hillary Clinton. - AGENSI

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X