Sabtu, 31 Disember 2016 | 10:37am

389 disaman Ops Roda Khas

SEBAHAGIAN motosikal ditahan polis dalam Ops Roda Khas oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di tiga lokasi sekitar ibu negara, malam tadi.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 389 saman dan 13 waran tangkap dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur atas pelbagai kesalahan menerusi Ops Roda Khas di tiga lokasi sekitar ibu negara, malam tadi.

Antara kesalahan dikesan adalah memandu tanpa lesen, lesen dan cukai jalan tamat tempoh dan nombor plet tidak mengikut spesifikasi.

Tangkapan turut dibuat ke atas individu yang menggunakan motosikal curi, nombor pendaftaran palsu, memandu dan menunggang di bawah pengaruh alkohol serta kes dadah.

Turut ditahan sepasang remaja berusia 15 dan 16 tahun yang menunggang dan membonceng motosikal secara melulu.

Operasi yang ketuai Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain, disertai 11 pegawai dan 68 anggota, bermula pada jam 10 malam dan berakhir jam 1 pagi.

Bercakap kepada sidang media selepas operasi itu, Mohd Nadzri berkata, pihaknya berpuas hati dengan penugasan anggotanya sepanjang tahun ini, yang menumpukan kepada penunggang motosikal dalam usaha mengurangkan kemalangan terutama kemalangan maut.

Katanya, usaha itu terbukti berkesan apabila berjaya mengurangkan kemalangan maut kepada 218 kes, menurun 28 kes berbanding 246 kes tahun lalu.

Bagaimanapun, jumlah kemalangan meningkat sebanyak 4,573 kes kepada 62,415 kes tahun ini atau 7.3 peratus berbanding tahun lalu sebanyak 66,988 kes.

"Motosikal adalah penyumbang utama kepada kemalangan maut di Kuala Lumpur. Sepanjang tahun ini kita memberi fokus lebih terhadap perkara itu dan ia berjaya.

"Antara usaha yang dilakukan menguat kuasa larangan bagi kenderaan berat keluar masuk ke ibu negara pada waktu puncak, iaitu pagi dan petang kerana banyak kemalangan maut berlaku apabila kenderaan berat bergesel dengan motosikal," katanya.

Berita Harian X