Sabtu, 31 Disember 2016 | 1:40pm

Courtois bukan untuk dijual - Conte


THIBAUT Courtois.

LONDON: Antonio Conte menegaskan Thibaut Courtois tidak dibenarkan meninggalkan Chelsea meskipun terdapat laporan menyatakan Real Madrid berminat terhadap penjaga gol The Blues itu.

Courtois dikatakan berada dalam senarai tertinggi untuk diikat Real pada 2017 namun dengan jendela perpindahan dibuka semula esok, Conte pantas menolak mana-mana tawaran bagi mendapatkan penjaga gol Belgium itu.

Penjaga gawang berusia 24 tahun itu dipinjamkan selama tiga tahun kepada Atletico Madrid sebelum menggantikan Petr Cech sebagai penjaga gol utama Chelsea.

Bercakap kepada wartawan semalam, Conte menjelaskan betapa Courtois tidak akan mempunyai peluang kembali ke Madrid.

"Dia bersama kami dan ia perkara yang utama. Situasi lain itu hanyalah spekulasi semata-mata," kata Conte.

"Bagi saya, Thibaut antara penjaga gol terbaik di dunia. Musim ini dia bermain dengan sangat baik, dan kamu boleh melihat dirinya bukan saja bagus dengan tangannya tetapi juga kakinya.

"Ya, saya fikir dia seorang penjaga gol yang lengkap. Dia seorang model bagi penjaga gol."

Dengan gawang dijaga rapi Courtois, pendahulu Liga Perdana Inggeris itu hanya melepaskan dua gol dan menjaringkan 28 gol dalam 12 perlawanan sebelum pertemuan dengan Stoke, malam ini.

Sebelum ini pengurus Arsenal, Arsene Wenger melabelkan barisan Conte sebagai pilihan utama selain menggambarkan betapa pemburuan gelaran kini semakin jauh selepas Chelsea kini mendahului carta dengan kelebihan enam mata.

Biarpun begitu, Conte enggan terlalu pantas dibuai pujian sebaliknya menegaskan betapa Chelsea harus berwaspada bagi meneruskan rentak kemenangan.

"Pada awal musim, tiada ada seorang pun jurulatih atau individu mahupun wartawan yang percaya dengan semangat juang pasukan ini bagi memburu gelaran," kata Conte.

"Untuk meraih 12 kemenangan berturut-turut adalah satu kejayaan hebat namun jaminannya masih belum cukup bagi menjuarai liga ketika ini.

"Saya gembira pendapat itu semakin berubah. Apapun, saya sedikit bimbang kerana apabila pendapat berubah dengan pantas, maka kamu perlu memberi sepenuh perhatian.

"Kami mendahului dengan enam mata daripada penghuni tangga kedua (Manchester City) dan tujuh mata daripada pasukan ketiga (Liverpool). Perjalanan masih jauh sebelum kemuncak musim tiba." -AFP

29 dibaca
Berita Harian X