Sabtu, 31 Disember 2016 | 3:59pm

Penunggang motosikal maut digilis treler

CAMERON HIGHLANDS: Kegembiraan sekumpulan 17 penunggang bermotosikal berkonvoi bertukar duka apabila salah seorang daripada mereka muat digilis treler di Kilometer 73.1 Jalan Besar Tringkap di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, Mohamad Syazwan Mohamad Sabri, 19, dari Kampung Kuala Gali, Dong, Raub, Pahang, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A Hamid, berkata siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang juga seorang mekanik bersama 16 motosikal lain berkonvoi dari arah Brinchang menuju Kampung Raja.

Ketika menuruni bukit di laluan berselekoh, mangsa dipercayai berlanggar dengan motosikal di hadapan, sebelum terjatuh dan memasuki laluan bertentangan sebelum digilis treler yang menuju ke Brinchang.

"Pemandu treler dikatakan cuba membrek dan mengelak tetapi gagal. Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lagi penunggang motosikal cedera ringan," katanya di sini hari ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X