Sabtu, 31 Disember 2016 | 9:47pm

Banjir: 15 sekolah di Kelantan ditutup esok

PENGGUNA jalan raya terpaksa mengharungi air berikutan banjir di Kuala Krai. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menangguhkan hari pertama sesi persekolahan 2017 bagi 13 sekolah rendah dan dua sekolah menengah di daerah Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli esok berikutan laluan ke sekolah terbabit ditenggelami banjir.

Pengarahnya, Jaafar Ismail, berkata jumlah itu merangkumi lapan sekolah di daerah Kuala Krai, lima sekolah di daerah Tanah Merah dan dua sekolah daerah Jeli.

Lapan sekolah terbabit di daerah Kuala Krai ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pemberian, SK Karangan, SK Bahagia, SK Ladang Taku, SK Kuala Nal, SK Pasir Gajah, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Pasir Gajah dan SK Pasir Kelang.

"Lima sekolah di daerah Tanah Merah ialah SK Sokor, SK Kampung Panjang, SK Ladang Kerilla, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ladang Kerilla dan SK Kulim manakala di daerah Jeli ialah SK Kuala Balah dan SMK Kuala Balah," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keselamatan guru dan pelajar sekolah yang mungkin berdepan bahaya banjir jika hadir ke sekolah esok. - BERNAMA

Berita Harian X