Ahad, 1 Januari 2017 | 11:38am

Batman, Masked Rider hadir di sekolah

ADIWIRA Batman dan Masked Rider hadir menghiburkan pelajar tahun 1 pada hari pertama sesi persekolahan 2017 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3 di Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Kehadiran watak adiwira Batman dan Masked Rider di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3 di sini, mengejutkan 1,355 muridnya pada hari pertama persekolahan.

Tampil dengan kostum lengkap, kedua-dua adiwira itu menarik minat ramai terutama 228 murid Tahun Satu yang mendaftar sempena sesi persekolahan 2017.

Guru Besar, Seri Dewi Mohd Ibrahim, berkata ini adalah kali kedua sekolah itu menampilkan watak adiwira selepas membawa dua watak daripada filem Star Wars tahun lalu.

Katanya, konsep itu mempunyai penerapan unsur aspirasi murid dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

"Kelainan untuk tahun ini ialah kita menerapkan enam unsur ciri aspirasi murid berkaitan watak adiwira Batman iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa, kepimpinan, identiti nasional serta etika dan kerohanian," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagi pendedahan unsur terbabit, Seri Dewi berkata, sesi soal jawab mengemukakan penerangan yang mempunyai kaitan dengan kelawar yang menjadi asas Batman seperi ciri-ciri haiwan itu.

Kostum dua watak adiwira itu dipakai oleh dua guru sekolah berkenaan pada perhimpunan pagi.

Bagi menyelitkan unsur identiti nasional, acara silat antara dua adiwira itu dengan sekumpulan murid turut diadakan dengan dimenangi oleh seni pertahanan diri Melayu.

Berita Harian X