Ahad, 1 Januari 2017 | 2:57pm

Gajah menyerupai haiwan prasejarah mati dibunuh

RANGKA gajah yang menyerupai haiwan prasejarah ditemui di kawasan Sungai Segama Lahad Datu. - Foto ihsan Pusat Lapangan Danau Girang Kinabatangan (DGFC)

KOTA KINABALU: Gajah dengan gading menghala ke bawah menyerupai haiwan prasejarah di FELDA Umas, Tawau, pada Ogos lalu, ditemui mati dipercayai dibunuh di kawasan Sungai Segama, Lahad Datu, semalam.

Ketika ditemui, gajah unik itu hanya tinggal rangka, manakala gadingnya hilang dipercayai diambil pemburu haram.

BANGKAI seekor lagi gajah dalam keadaan menyedihkan yang ditemui di kawasan Sungai Segama, Lahad Datu. - Foto ihsan Pusat Lapangan Danau Girang Kinabatangan (DGFC)

Satu lagi bangkai gajah turut ditemui di kawasan berhampiran dalam keadaan menyedihkan dengan gadingnya hilang.

Bangkai kedua-dua haiwan terbabit ditemui Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) Kinabatangan dan Unit Perlindungan Hidupan Liar Sabah (WRU).

Sebelum ini, gajah berkenaan dilepaskan di Hutan Simpan Kawag, dekat Lembah Danum, Lahad Datu dan dipasangkan kalung satelit bagi memudahkan pemantauan pergerakannya.

Pengarah DGFC, Dr Benoit Goossens, ketika dihubungi berkata berdasarkan data direkodkan dalam kalung satelit gajah terbabit, ia dibunuh pada 20 November lalu, manakala seekor lagi gajah dibunuh baru-baru ini berdasarkan keadaan bangkai yang baru berbau.

"Tiada perkataan dapat menggambarkan betapa sedih dan marahnya kami terhadap kekejaman ke atas haiwan liar ini.

"Kita harap pihak berkaitan menangkap dalang yang membunuh haiwan berkenaan," katanya.

Pada 11 Ogos lalu, sekumpulan anggota WRU menemui gajah dengan gading menghala ke bawah itu ketika membuat translokasi sekumpulan gajah dari FELDA Umas Tawau ke kawasan baharu.

Berita Harian X