Ahad, 1 Januari 2017 | 8:05pm

NADMA berkesan urus banjir - TPM

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua kanan) diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (kanan) bertanyakan sesuatu kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa banjir ketika melawat Pusat Pemindahan Mangsa Bencana Banjir Kampung Bukit Tadok. - Foto Ghazali Kori

KUALA BERANG: Pengendalian pengurusan bencana yang diambil alih oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkesan dalam menangani masalah banjir di Pantai Timur.

Dengan menjadikan banjir di Kemaman pada 2014 sebagai acuan untuk menjalankan simulasi menghadapi bencana, NADMA berjaya meningkatkan kecekapan untuk menguruskan situasi ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pengambilalihan pengurusan koordinasi bencana oleh NADMA daripada MKN membolehkan pemantauan lebih awal dilakukan dengan lebih tersusun.

Malah pengwujudan sekretariat di peringkat pusat, negeri, daerah, mukim dan kampung membantu melancarkan lagi prosedur pengurusan bencana di negara ini.

"NADMA melakukan koordinasi dengan agensi penyelamat dan penguatkuasaan supaya amaran awal dapat diberikan bagi memudahkan proses pemindahan mangsa dijalankan sebelum bencana mengancam nyawa dan harta," katanya ketika melawat Pusat Pemindahan Banjir Kampung Bukit Tadok, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, banjir yang lebih serius di Terengganu berbanding Kelantan dan Pahang tahun ini berkemungkinan ada kaitan dengan perubahan iklim, namun dapat diatasi dengan baik oleh NADMA.

Beliau yang diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman meluangkan masa selama lebih satu jam untuk beramah mesra bersama lebih 50 mangsa banjir yang ditempatkan di lokasi ini.

Beliau yang tiba kira-kira jam 6.15 petang dengan menaiki bot Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana laluan di lokasi ditenggelami air turut memberikan bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir.

Berita Harian X