Ahad, 1 Januari 2017 | 8:08pm

Wanita hampir lemas terjatuh bot pisang

LOKASI seorang wanita hampir lemas selepas terjatuh daripada bot pisang di Pantai Teluk Kemang di Port Dickson, hari ini

PORT DICKSON: Seorang wanita terselamat apabila sempat menerima bantuan pernafasan (CPR) selepas terjatuh ke dalam laut ketika menaiki bot pisang di Pantai Teluk Kemang di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.36 petang itu, wanita berusia 53 tahun itu diselamatkan orang awam dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang mengawasi pantai berkenaan.

Ketua Operasi APM Port Dickson, Leftenan Omar Hashim, berkata mangsa sempat diselamatkan kerana memakai jaket keselamatan, namun hampir lemas disebabkan panik dan tidak dapat mengapungkan diri dengan baik.

"Anggota APM segera melakukan CPR terhadap mangsa sebaik dibawa ke pantai. Dia kemudian tersedar dan segera dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Sabarudin Ahmad, berkata kejadian itu adalah yang pertama dilaporkan pada tahun baru dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati.

"Kita berharap semua pengunjung mengutamakan aspek keselamatan terutama ketika melakukan aktiviti sukan air dengan sentiasa menggunakan jaket keselamatan," katanya.

Berita Harian X