Isnin, 2 Januari 2017 | 12:06am

'Mira Filzah seperti adik sendiri' - Ammar Titan

KETIKA kemampuannya sebagai pengacara program '3 Juara' dipertikaikan sebahagian peminat, tidak kurang juga yang melihat usikan nakal membabitkan Ammar Titan dengan rakan gandingannya, Mira Filzah, bagai memberikan bayangan ada hubungan istimewa antara mereka.

Adegan sakat-menyakat dipamerkan, ketika mereka menggalas tugas berkenaan di pentas rancangan siaran TV3 itu, mahupun perkongsian gambar atau video di laman Instagram membuatkan ada yang mengandaikan bagai ada sesuatu antara dua personaliti ini.


DI SEBALIK kemesraan yang terjalin, Ammar menganggap Mira Filzah seperti adik sendiri. NSTP/MUNIRA ABDUL GHANI

PELAKON, Mira Filzah, sedang membina nama menerusi pelbagai cabang seni. NSTP/AZIAH AZMEE

Maklum saja, Mira yang juga Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29, ketika ini memang berada di puncak kerjaya dan belum berpunya. Sebelum ini dirinya turut dikaitkan dengan Zizan Razak sewaktu mereka sama-sama mengacarakan ABPBH lalu.

Ammar atau nama penuhnya Azizul Ammar Abu Hassan, 29, bagaimanapun cepat-cepat menafikan perkara itu ketika ditemui BH, baru-baru ini.

"Perasaan yang dimaksudkan mungkin disalah tafsir. Perasaan yang sebenar adalah lebih kepada menjaga seorang adik. Kami memang sudah seperti adik-beradik.

"Hendak sakat atau bantai, masing-masing sudah boleh menerimanya dan terbiasa dengan situasi itu. Sebenarnya, sebelum 3 Juara, Tahun lalu, saya dan Mira pernah mengacarakan program KLTV untuk siaran Hypp TV," katanya.


SELAIN berpeluang menjadi pelakon, Ammar kini turut menjadi penyampai radio bersama stesen Hot FM. - Foto Munira Abdul Ghani

Menurut beliau, dirinya boleh dikatakan mengenali gadis manis terbabit dalam dua fasa berbeza.

"Pada fasa pertama saya mengenalinya dulu, Mira lebih lemah-lembut dan 'control' ayu. Ketika itu, agak mencabar juga untuk saya mendapatkan keserasian dengannya.

"Namun, kini ketika sama-sama mengendalikan 3 Juara, saya dapat fasa kedua Mira yang sedikit terbuka. Mira lebih santai dan dia juga mula memberi maklum balas terhadap usikan mahupun 'serangan' yang dihantar kepadanya.

"Pendek kata, daripada KLTV hingga 3 Juara, kami memang seperti adik-beradik. Di sebalik pelbagai kecaman terhadap kami ketika tugasan 3 Juara, orang sebenarnya tidak tahu sejauh mana kami rapat hingga boleh bertepuk-tampar.

"Saya sendiri mempunyai Issey dan Mira yang masing-masing pernah mengendalikan program besar seperti Mentor Milenia dan ABPBH 29. Kami cuba melengkapi sesama sendiri," kata Ammar.

Mengenai dakwaan nakal kononnya beliau cuba menumpang populariti Mira, Ammar mempunyai pandangannya sendiri.

"Orang di belakang tabir mungkin sedikit-sebanyak tahu bagaimana kami mengorak langkah dari awal, ketika zaman sama-sama baru hendak bertapak. Setiap program pasti ada yang membanding-bandingkan dengan hos lain. Ia perkara biasa.


AMMAR sentiasa berusaha memperbaiki sebarang kelemahan diri dalam kerjaya seni yang disertai bermula dengan pencarian pelawak, Bintang Mencari Bintang pada 2013. - Foto Munira Abdul Ghani

"Pada saya, hos bertindak sebagai perantara dan pemudah cara. Apa yang lebih utama ialah kandungan sesebuah program realiti itu khususnya.

"Tak timbul soal saya dan Issey menumpang populariti Mira. Saya percaya, kami ada cara tersendiri dalam mengacara. Saya sendiri sentiasa mahu memperbaiki kelemahan. Malah, bagi menceriakan keadaan, adegan sakat-menyakat itu dianggap biasa," katanya.

Bercerita mengenai kerjaya seni, Ammar menegaskan dirinya cuba menjadi serba boleh.

Sejak menyertai program realiti pencarian pelawak Bintang Mencari Bintang (BMB) menerusi kumpulan Titan pada 2013, Ammar mengakui pada mulanya bergelut dalam menempatkan diri. Tidak lama kemudian, selain berlawak beliau mula diberi kesempatan berlakon dan kini turut bekerja tetap sebagai penyampai radio Hot FM, sejak Mac lalu.

"Program Jom Heboh banyak memperkenalkan Titan kepada khalayak. Dari situ, saya mewujudkan rangkaian sesama manusia, selain menjaga hubungan dengan Allah. Medium rezeki itu datang daripada kawan dan orang industri. Peluang yang datang itu saya ambil bukan hanya untuk berkongsi rezeki semata-mata, tetapi terus melebarkan bakat.

"Cuma kini tawaran berlakon tidak sekencang dulu. Kali terakhir saya berlakon dalam telefilem untuk Deepavali. Namun begitu, apabila bekerja tetap di radio, ketiadaan undangan berlakon tak terasa sangat. Mungkin apabila saya diberi satu kelebihan untuk menjadi penyampai radio, Tuhan akan tarik pula kelebihan lain yakni berlakon.

"Rezeki yang ada sekarang saya laksanakan sebaik mungkin," katanya.

Tambah Ammar, hingga saat ini, beliau tidak pernah terfikir untuk menceburi dunia penyampaian radio.

"Perancangan Allah itu menarik. Saya mensasarkan diri untuk menjadi pelakon, tetapi peluang menceburi dunia radio pula yang hadir. Dengan suara, saya cuba hiburkan pendengar dan masyarakat. Saya juga tak terkilan apabila tawaran berlakon berkurang.

"Bagi saya juga, dalam dunia lakonan kita tak boleh terlalu kerap muncul di skrin, hingga hilang nilai eksklusif. Jadi biarlah keluar TV sesekali, tetapi impaknya orang ingat dan nak lagi," katanya.

INFO: Ammar Titan @ Azizul Ammar Abu Hassan

    Usia 29 tahun

Gandingan bersama Mira Filzah acarakan program 3 Juara

Anggap keserasian bersama Mira Filzah seperti adik beradik

Sertai program realiti pelawak Bintang Mencari Bintang (BMB) bersama kumpulan Titan pada 2013

Menjadi penyampai Hot FM sejak Mac lalu

Berita Harian X