Isnin, 2 Januari 2017 | 12:15am

Keenakan ikan liking jadi identiti Kota Belud

KOTA BELUD: Bau wangi pantas menusuk hidung, sejurus memasuki laman rumah sepasang suami isteri yang mengusahakan perusahaan ikan liking dekat Kampung Pantai Emas, kira-kira 15 kilometer dari pekan ini.

Bagi yang tidak biasa mungkin berasa hairan dengan aroma terbabit, namun sebenarnya ia adalah penangan ikan liking yang dijemur atas tiga struktur papan yang dibina khas untuk menjemurnya.


Jurai Sharif menyusun ikan talang atas jemuran untuk dijadikan ikan liking - Foto Malai Rosmah Tuah

Keenakan ikan liking diperbuat daripada ikan talang, diusahakan pasangan, Jurai Sharif Ekang, 58, dan isterinya, Sharifah Baliana Sharif Jawi 52, terbukti apabila menerima permintaan bukan setakat dalam kalangan penduduk tempatan, tetapi menular ke Sarawak dan Semenanjung.

Selain dihantar secara pos kepada pembeli di luar, ada dalam kalangan pelanggan pasangan itu sanggup memandu dari Kota Kinabalu ke kampung itu untuk membelinya.

"Pembeli datang ke rumah kami sudah jadi kebiasaan. Selain itu, kami juga menjual di tamu mingguan setiap Ahad dan Rabu.


PRODUK ikan liking adalah antara hasil laut utama dari daerah Kota Belud - Foto Malai Rosmah Tuah

"Tempahan dari seluruh Sabah seperti Kota Kinabalu, Menumbok, Sipitang dan Keningau, selain Semenanjung, kadang-kadang mencecah lebih 400 kilogram (kg) untuk jualan di restoran mereka atau katering," katanya.

Perniagaan ikan liking diusahakan Jurai dan Sharifah Baliana, sejak 17 tahun lalu selepas mewarisinya daripada ibu bapa mereka, kini turut dibantu oleh tiga anak lelaki berusia 16 hingga 23 tahun.

Seperti ikan terubuk yang popular di Sarawak, ikan liking begitu dikenali khususnya sekitar daerah Kota Belud, yang menjadi pengeluar utama hasil laut itu di Sabah.


IKAN liking yang dihasilkan pasangan Jurai Sharif dan Sharifah Baliana menerima tempahan dari Sarawak dan Semenanjung - Foto Malai Rosmah Tuah

Walaupun tiada sebarang pantang larang dalam penghasilan ikan liking, namun Jurai berkata, ia perlu dilakukan dengan teliti bagi mengekalkan mutu dan kualitinya, selain hanya menggunakan ikan segar yang belum disimpan dalam peti ais.

"Ikan liking yang paling berkualiti dihasilkan daripada ikan talang segar dan belum dicampur air batu, sama ada dimasukkan ke dalam peti sejuk beku atau dimasukkan ke dalam tong berisi ais untuk pengawetan.

"Namun, kami berdepan kerenah penjual ikan talang kerana ada yang sanggup berbohong mengenai tahap kesegaran ikan terbabit," katanya yang memulakan perniagaan ikan liking dengan modal RM500 pada tahun 1999.


JURAI Sharif (kiri) dan Sharifah Baliana mampu menghasilkan sehingga 500 kilogram ikan liking setiap bulan - Foto Malai Rosmah Tuah

Ikan talang akan diperam semalaman sebelum dibersihkan, dibelah dan dilumur dengan garam kemudian dijemur di bawah matahari terik sehingga kering.

Apabila sudah kering, ikan itu disimpan dalam tempat penyimpanan khas untuk mengekalkan kualitinya dan memastikan tahap kebersihannya sehingga sampai kepada pembeli.

"Proses membuat ikan liking ini sehingga kering, lazimnya mengambil masa kurang daripada empat hari. Ketika ini, kami mendapatkan bekalan ikan talang daripada pembekal dari Sandakan, Tawau, Semporna, Papar, Kudat selain dari Kota Belud sendiri," katanya.

Secara purata, pasangan itu memasarkan antara 300 hingga 500 kilogram ikan liking setiap bulan. Setiap hari, mereka menjemur antara 400 hingga 500 keping ikan talang setiap hari, yang dijual antara RM5 hingga 48 sekeping.

INFO - Ikan liking

    Dihasilkan mengguna ikan talang segar

    Kota Belud, kawasan pengeluaran utama di Sabah

    RM5 hingga RM48 sekeping bergantung saiz dan berat.

    Keluarga Jurai pasarkan antara 300 hingga 500 kg ikan liking sebulan

344 dibaca
SEBAHAGIAN daripada ikan liking yang diusahakan pasangan suami isteri dari Kampung Pantai Emas, Jurai Sharif Ekang dan Sharifah Baliana Sharif Jawi - Foto Malai Rosmah Tuah
SHARIFAH Baliana (kiri) melayan pelanggan dari Kota Kinabalu, yang datang sendiri membeli ikan liking di rumahnya - Foto Malai Rosmah Tuah
PASANGAN pengusaha ikan liking dari Kampung Pantai Emas, Jurai Sharif Ekang (kiri) dan isteri, Sharifah Baliana memastikan kualiti terbaik terhadap ikan liking yang dihasilkan mereka - Foto Malai Rosmah Tuah
SHARIFAH Baliana memastikan kualiti ikan talang yang dijadikan ikan liking - Foto Malai Rosmah Tuah
JURAI Sharif dan Sharifah Baliana menyusun ikan liking di atas jemuran dekat rumah mereka - Foto Malai Rosmah Tuah
JURAI Sharif menunjukkan kepingan ikan liking yang dihasilkannya sedia untuk dijual - Foto Malai Rosmah Tuah
PENGUSAHA ikan liking dari Kampung Pantai Emas, Sharifah Baliana Sharif Jawi - Foto Malai Rosmah Tuah
PENGUSAHA ikan liking, Jurai Sharif Ekang - Foto Malai Rosmah Tuah
IKAN liking yang enak dihasilkan daripada ikan talang segar yang tidak diawet dengan air batu. - Foto Malai Rosmah Tuah
KELUARGA Sharifah Baliana menjemur sehingga 500 kepingan ikan talang yang diproses menjadi ikan liking setiap hari. - Foto Malai Rosmah Tuah
Berita Harian X