Isnin, 2 Januari 2017 | 8:42am

Hyundai Motor sasar jualan global 5.08j unit tahun ini

MODEL Tucson dan Granduer (depan) Hyundai yang dipamerkan di Seoul, Korea Selatan. - Foto hiasan

SEOUL: Hyundai Motor Co menetapkan sasaran jualan global sebanyak 5.08 juta unit kenderaan tahun ini.

Mengikut pengeluar automotif berpangkalan di Korea itu, syarikat merancang menjual 4.4 juta kenderaan di seberang laut manakala 683,000 unit di pasaran domestik.

Hyundai menetapkan sasaran jualan global 5.01 juta unit pada 2016 tetapi hingga kini belum membuat pengumuman rasmi angka jualan tahun lalu.

Hyundai dan syarikat sekutunya Kia Motors merancang meningkatkan jualan di Amerika Syarikat dan China selepas jualan di beberapa beberapa pasaran sedang membangun termasuk Russia kini stabil.

Syarikat itu berkemungkinan mencatat penurunan paras untung buat empat suku tahunan berturut-turut berikutan penyederhanaan di pasaran sedang membangun serta barisan produk yang lebih bertumpu kepada kereta sedan sedangkan SUV adalah segmen lebih popular di peringkat global.

Naib Pengerusi Hyundai Motor, Yoon Yeo-chul, berkata beliau menjangkakan persaingan pasaran akan lebih sengit berikutan pasaran automotif global sudah mencapai tahap tepu sejajar ketidaktentuan ekonomi. - Reuters

Berita Harian X