Isnin, 2 Januari 2017 | 8:51am

Ratu Elizabeth tak sihat, tak sambut tahun baharu


PEMERINTAH Britain, Ratu Elizabeth II. - Foto Rosli Ahmad

LONDON: Pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II, sekali lagi gagal menghadiri upacara di gereja bersempena sambutan Tahun Baru selepas menghidap selesema yang berpanjangan, menurut Istana Buckingham.

Seminggu sebelum itu, raja berusia 90 tahun itu turut terlepas peluang menghadiri upacara gereja bersempena Hari Krismas buat kali pertama sejak beberapa dekad.

Baginda dijadual menghadiri upacara di gereja sempena Tahun Baru di Sandringham, semalam.

Baginda dan suaminya Putera Philip dilaporkan gering sebelum bercuti sempena Krismas pada 21 Jun lalu dan terpaksa membatalkan perjalanan kereta api ke estet mereka di Sandringham dekat Norfolk. Pasangan diraja itu diterbangkan ke sana dengan helikopter pada hari berikutnya.

Walaupun Philip, 95, menghadiri majlis itu selepas pulih sepenuhnya, pihak istana Buckingham berkata Elizabeth beransur pulih.

Anggota keluarga diraja lain, termasuk Puteri Anne dan Putera Edward, menemani ayahanda mereka ke upacara itu.

Elizabeth II turut terlepas upacara Hari Krismas tahun ini kerana masalah kesihatan, kali pertama sejak 1988. - Agensi

348 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »