Selasa, 3 Januari 2017 | 12:23am

28 sekolah di Kelantan ditutup hari ini

PEMANDANGAN di Jambatan Sultan Ismail Petra yang menunjukkan air Sungai Kelantan meningkat ke paras berjaga-jaga berikutan hujan lebat sejak Sabtu lalu. - Foto Zaman Huri Isa

KOTA BHARU: Sebanyak 28 sekolah di negeri ini masih ditutup hari ini berikutan bencana banjir yang melanda Kelantan sejak Sabtu lalu.

Sekolah berkenaan membabitkan empat daerah iaitu Pasir Mas, Kuala Krai, Tanah Merah dan Tumpat.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), dalam satu kenyataan, menyatakan penutupan itu menjejaskan 6,177 murid dan pelajar yang tidak dapat meneruskan pembelajaran pada hari ketiga sesi persekolahan 2017.

Katanya, penutupan itu dilakukan berikutan terdapat sekolah yang terbabit dengan banjir selain laluan ke sekolah terputus hubungan dan boleh membahayakan murid serta guru.

"Daripada jumlah berkenaan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas mencatatkan sekolah paling banyak yang terpaksa ditutup iaitu 16 sekolah berikutan paras Sungai Golok yang semakin meningkat.

"Ia diikuti PPD Kuala Krai membabitkan enam sekolah, PPD Tanah Merah lima sekolah dan sebuah sekolah di Tumpat," katanya.

LEBIH 1,000 penduduk Kampung Keseng dekat Kuala Besar, di Kota Bharu, terputus hubungan apabila laluan menuju kampung itu dinaiki air. - Foto Betty Subaryati

Berita Harian X