Rabu, 4 Januari 2017 | 12:02am

Penyanyi cilik, Yoyo, kenali lagu Melayu daripada filem P Ramlee

USIANYA baru 11 tahun, namun dari segi perwatakan dan tutur bicara tatkala ditemubual, penyanyi cilik, Yoyo Chow Beng Yo, persis seorang yang sudah dewasa.

Duduk bersembang dengannya, setiap baris ayat yang terpacul dari bibirnya disulami dengan hilai tawa. Sememangnya anak kelahiran Taiping, Perak, ini seorang yang mudah mesra.

Istimewanya kanak-kanak ini, dalam usia yang masih hijau dia sudah memiliki lima album dalam bahasa Mandarin. Malah, Yoyo kini boleh berbangga apabila dirinya muncul pula dengan sebuah album berbahasa Melayu berjudul Gadis & Bunga, sekali gus meletakkan dirinya sebaris dengan penyanyi bukan Melayu yang pernah melakukan formula sama seperti Winnie K dan Elaine Kang.

Bercerita mengenai kelahiran album Melayunya, hasrat itu menjelma berikutan sejak kecil lagi dirinya sudah didedahkan dengan lagu berbahasa kebangsaan. Justeru, alang-alang sudah berada dalam bidang seni suara, ditambah dengan dorongan label yang dinaunginya iaitu Suria Records, maka terhasillah album berkenaan.

"Sejak kecil saya memang sudah didedahkan dengan lagu Melayu. Datuk dan nenek saya ialah penggemar filem lama lakonan Tan Sri P Ramlee. Dari situ saya mula mengenali lagu Melayu. Kemudian saya mula mengenali penyanyi Melayu lain dan idola saya dalam bidang ini ialah Datuk Siti Nurhaliza.


PENYANYI cilik, Choew Beng Yo atau dikenali Yoyo. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

YOYO anak kelahiran Taiping, Perak, seorang yang mudah mesra. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya juga ada merakamkan lagunya (Siti) dalam album ini, iaitu Air Mata Ibu, Aku Cinta Padamu, Cindai dan Debaran Cinta.

"Album ini dihasilkan atas cadangan syarikat rakaman selepas melihat potensi saya dalam menyanyikan lagu Melayu. Lagu yang dirakamkan itu pula, selain karya kegemaran saya, ia juga adalah kehendak label," cerita Yoyo yang hadir ke Balai Berita baru-baru ini dengan ditemani ibu dan bapanya.

Mendengar Yoyo bercerita sangat menyeronokkan kerana kanak-kanak ini begitu fasih berbahasa Melayu. Berhubung hal itu katanya, selain bersekolah campur, dia juga rajin bertutur dalam bahasa kebangsaan di rumah bersama kakaknya yang kini sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi.

Selain berkebolehan menyanyi dalam bahasa Melayu dan Mandarin, Yoyo juga berupaya menyampaikan lagu dalam bahasa Inggeris, Tamil, Hokkien, Kantonis dan banyak lagi.

Pada masa sama, biarpun masih awal belasan tahun, Yoyo juga bijak bergaya. Aksinya cukup bersahaja di depan kamera dan langsung tidak kekok membuatkan sesi fotografi yang berlangsung petang itu berjalan lancar.

"Saya memang suka bergaya. Kebanyakan pakaian saya dipilih oleh ibu. Saya juga suka menyuai padan pakaian, terutama untuk persembahan dan juga sesi fotografi. Saya juga bersolek sendiri," katanya.


YOYO muncul dengan sebuah album berbahasa Melayu berjudul Gadis dan Bunga. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Bercerita mengenai idola kesayangannya itu, Yoyo berkata, dia sememangnya teringin untuk bertentang mata dengan penyanyi tersohor itu. Apatah lagi Siti pernah bernaung di bawah syarikat rakaman yang sama dengannya suatu masa dulu.

"Memang banyak kali juga mengatur rancangan untuk bertemu, tetapi tak pernah kesampaian. Maklum saja, bukan mudah hendak berjumpa dengannya. Apatah lagi saya tinggal di Perak. Bagaimanapun, saya menaruh harapan satu hari nanti saya dapat berjumpa dengan Kak Siti," kata anak bongsu daripada dua adik-beradik ini.

Meskipun mempunyai minat mendalam terhadap bidang nyanyian dan mendapat sepenuh galakan daripada keluarga, bagi Yoyo, pelajaran tetap menjadi keutamaan. Justeru, undangan hanya diterima bagi persembahan hujung minggu ataupun pada musim cuti persekolahan.

Bercakap mengenai alam persekolahan, sempat juga dia mendedahkan sebuah cerita yang boleh dianggap melucukan. Kata si comel ini, kebanyakan rakannya tidak mengetahui dirinya seorang artis rakaman.

"Mereka tahu saya minat menyanyi, tetapi mereka tidak tahu saya seorang artis. Saya memang merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan mereka.

"Bukan saya malu, tetapi saya tidak mahu mereka berkawan dengan saya hanya kerana saya seorang artis," katanya sambil tertawa kecil.

INFO

  • Bakat nyanyian Yoyo mula dicungkil ketika menyertai pertandingan karaoke. Lagu yang dinyanyikannya waktu itu ialah Madu dan Racun.
  • Mampu menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa antaranya Mandarin, Melayu, Tamil, Kantonis, Thailand, Hokkien, Hakka dan Teowchew.
  • Meminati penyanyi seperti Datuk Siti Nurhaliza, Eddy Silitongga dan Liza Hanim.
  • Mempunyai lima album Mandarin dan sebuah album Melayu.
DALAM usia yang masih hijau Yoyo sudah memiliki lima album dalam bahasa Mandarin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
YOYO sudah didedahkan dengan lagu Melayu sejak kecil. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Berita Harian X