Rabu, 4 Januari 2017 | 10:36am

Rancangan senaraian semula KFC rangsang aktiviti IPO

KUALALUMPUR: Penganalisis menjangkakan Malaysia bakal kembali sebagai destinasi pilihan penjanaan modal menerusi aktiviti senaraian awam baharu di Asia Tenggara pada tahun ini.

Ia dijangka dipacu prospek tawaran awam berprofil tinggi, termasuk rancangan penyenaraian semula pengendali KFC di Malaysia, ke Bursa Malaysia.

Bahkan, sentimen positif penyenaraian baharu tahun ini akan turut dibantu selera pengambilan risiko yang lebih baik oleh pelabur susulan kenaikan semula harga minyak mentah dunia, petunjuk ekonomi global lebih baik dan faktor ketidaktentuan ekonomi yang semakin berkurangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Cabang Pelaburan Perbankan CIMB, Kong Sooi Lin, dalam satu temu bual dengan Bloomberg, baru-baru ini turut mengesahkan prospek tawaran awam permulaan (IPO) yang lebih 'meriah' tahun ini.

Sooi Lin berkata, rancangan penyenaraian IPO mega tahun ini dijangka mengembalikan minat pelabur ke pasaran.

"Sekiranya prestasi penyenaraian IPO syarikat ini didapati lebih kukuh, kita berkemungkinan melihat lebih banyak syarikat swasta akan kembali memuktamadkan hasrat untuk disenaraikan," katanya.

Menurut bank pelaburan berkenaan, IPO Malaysia mampu melonjak mencecah AS$2 bilion (RM8.96 bilion) tahun ini, selepas terjejas sejak beberapa tahun lalu susulan ketidaktentuan ringgit dan pertumbuhan ekonomi yang sederhana. Prestasi IPO negara mencatat paras terendah dalam tempoh 16 tahun pada tahun lalu.

Bloomberg melaporkan, antara IPO yang dijangka akan memeriahkan Bursa Malaysia tahun ini adalah kepulangan IPO QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd pemilik francais restoran segera terkemuka KFC di bawah CVC Capital Partners, yang sebelum dikaitkan dengan rancangannya untuk menawarkan saham bernilai AS$500 juta (RM2.24 bilion).

Turut disebut-sebut pasaran adalah penyenaraian pemaju hartanah Eco World International Bhd yang merancang meraih modal lebih RM2 bilion menerusi IPO.

Tahun lalu, Malaysia mencatatkan kejatuhan ketara apabila jualan saham pertama kali mencecah serendah AS$305 juta berdasarkan data Bloomberg, paras terendah sejak 2000.

Prestasi itu jauh ketinggalan berbanding prestasi pasaran saham serantau seperti Singapura yang mencatatkan AS$1.7

bilion IPO; dan Thailand yang berjaya menghimpunkan AS$1.5 bilion modal menerusi aktiviti itu.

Berita Harian X