Sabtu, 13 Disember 2014 | 3:58pm

3 negara kerjasama kekang kejatuhan melampau harga getah

ALOR GAJAH: Malaysia, Indonesia dan Thailand sedang mempergiat kerjasama bagi mencatur langkah untuk mengekang kejatuhan melampau harga getah dunia sehingga mendatangkan kesan negatif kepada ekonomi, terutama pekebun getah di ketiga-tiga negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Douglas Uggah Embas berkata antara langkah yang dicadangkan ialah memastikan pengeluaran tidak berlebihan dengan permintaan semasa getah dunia.

Beliau berkata, pengawalan pengeluaran mampu menjadi faktor pengawal harga getah berdasarkan teori permintaan dan pembekalan.

"Kita mencadangkan negara anggota ANRPC (Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli) mengadakan mesyuarat peringkat menteri supaya kita boleh membuat keputusan berkesan terutama berkenaan harga getah dunia. "Tindakan 11 negara anggota ANRPC, penyumbang kepada 95 peratus bekalangetah asli dunia, mampu memberi kesan besar apabila bekerjasama bagi menangani isu ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Dialog Bersama Pekebun Getah di Machap Bahru di sini, hari ini. Douglas berkata, selain itu, ANRPC juga sedang giat mencari pelbagai cara baharu penggunaan getah asli bagi meningkatkan permintaan terhadap komoditi berkenaan.

"Antaranya, penggunaan getah sebagai bahan untuk membina jalan raya diMalaysia seperti yang berjaya dilaksanakan di Thailand," katanya. Sementara itu, beliau berkata kerajaan sentiasa prihatin tentang kebajikanpekebun getah yang terkesan akibat kejatuhan melampau harga getah di pasaran dengan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti insentif pengeluaran getah (IPG) untuk pekebun kecil getah.

"Jawatankuasa kabinet bagi membantu pekebun meringankan beban kehidupan mereka akan bermesyuarat bagi mengenal pasti bantuan lain yang kita akan bagi kepada mereka," katanya.

Kerajaan memperuntukkan RM100 juta sebagai dana awal IPG dalam Bajet 2015 yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari depan.

- BERNAMA

Berita Harian X