Rabu, 4 Januari 2017 | 3:11pm

Siasatan nahas BEECHCRAFT tumpu kepada faktor teknikal, kemanusiaan

KUALA LUMPUR: Siasatan nahas pesawat jenis Beechcraft B200T yang terhempas berhampiran Terminal Peluru, Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang, 21 Dis lepas kini menjurus kepada faktor teknikal dan kemanusiaan.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Affendi Buang, berkata dua faktor itu difokuskan berdasarkan pelbagai bukti yang dapat dikumpulkan pasukan siasatan sepanjang dua minggu di lokasi kejadian dan pesawat terbabit.

"Kami percaya nahas berkenaan berhubung kait dengan dua faktor ini selepas semua faktor lain telah dikaji.

Bagaimanapun, setakat ini kami masih tidak boleh mengesahkannya atau membuat kesimpulan kerana banyak lagi maklumat terperinci dari dua aspek itu yang perlu dikaji terlebih dahulu bagi memperoleh hasil siasatan yang sebenarnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Panglima Operasi Udara dan Panglima Bantuan Udara Serta Penyampaian Amanat Perintah Ulung Panglima TUDM ke-18 di sini hari ini.

Affendi berkata setakat ini tiga pesawat Beechcraft B-200T milik TUDM yang berpangkalan di Subang juga masih tidak dibenarkan beroperasi susulan nahas itu dan akan beroperasi semula pada masa yang sesuai.

Nahas yang berlaku pada 5.18 petang itu mengorbankan juruterbang Mejar C Kayamboo, 45, manakala Kapten Wai Lik, 26, Lt Hamid Hanafi, 26, dan Sarjan Udara Mohd Sofi Azizan, 29, cedera.

Dalam perkembangan lain, Affendi berkata pihaknya telah menggerakkan sebuah pesawat EC 725 ke Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu semalam bagi membantu mangsa banjir.

"TUDM sentiasa siap sedia untuk mengerahkan lebih aset sekiranya diperlukan untuk menyampaikan bantuan udara kepada pihak yang memerlukan," katanya.

Terdahulu, Affendi menyaksikan upacara serah terima tugas bagi jawatan Panglima Operasi Udara antara Left Jen Datuk Seri Ackbal Abdul Samad dan Left Jen Datuk Seri Abdul Mutalib Ab Wahab.

Abdul Mutalib yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Panglima Bantuan Udara menggantikan jawatan Ackbal sebagai Panglima Operasi Udara.

Ackbal dilantik menjadi Timbalan Panglima TUDM menggantikan Affendi yang kini Panglima TUDM.

Turut berlangsung adalah penyerahan tugas bagi jawatan Panglima Bantuan Udara antara Abdul Mutalib yang menyerahkan tugas itu kepada Left Jen Datuk Paduka Wan Normazlan Che Jaafar.

BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X