Rabu, 4 Januari 2017 | 4:07pm

NS arah pemaju bina rumah teres bawah RM80,000


Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan. - Foto NSTP/Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN: Golongan kurang berkemampuan berpeluang memiliki rumah baharu jenis teres tiga bilik dan dua bilik air pada harga RM80,000 ke bawah di negeri ini, tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ini selaras dengan pindaan yang baru dibuat terhadap Dasar Perumahan Negeri Sembilan yang dilancarkan pada pertengahan tahun 2015.

Sebelum ini, katanya kerajaan negeri hanya menetapkan pemaju perumahan perlu membina rumah mampu milik berharga bawah RM80,000, menyebabkan ada yang membina kediaman jenis pangsapuri.

"Bagaimanapun, kita memutuskan supaya pemaju tidak lagi boleh membina kediaman jenis itu bagi memenuhi syarat ini.

"Sebaliknya, pemaju perlu membina kediaman jenis teres dengan keluasan tidak kurang 900 kaki persegi (83.6 meter persegi)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Mohamad berkata, pindaan itu dibuat bagi mengelakkan masalah yang sering timbul di pangsapuri kos rendah, termasuk kegagalan pemilik membayar yuran penyelenggaraan, selain masalah sosial kerana faktor kawasan persekitaran.

Katanya, kerajaan negeri mahu memastikan kawasan perumahan untuk golongan kurang berkemampuan sentiasa terurus dengan pemilik serta keluarga dapat menjalani hidup lebih berkualiti.

Mengikut Dasar Perumahan Negeri Sembilan, 15 peratus daripada projek perumahan perlu mempunyai rumah mampu milik berharga bawah RM80,000, 15 peratus (RM250,000 ke bawah) dan 20 peratus (RM400,000 ke bawah).

Berita Harian X