Rabu, 4 Januari 2017 | 5:20pm

Pistol, 49 peluru, 6 parang dan dadah dirampas

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff (tengah) melihat rampasan bom tangan tiruan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan (kiri). - Foto BERNAMA
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff (tengah) melihat rampasan bom tangan tiruan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan (kiri). - Foto BERNAMA

TELUK INTAN: Sepucuk pistol, 49 butir peluru dan enam parang antara senjata dirampas Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Bukit Aman bersama polis negeri dalam serbuan di sebuah bengkel kenderaan di Labu Kubong, dekat sini, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokthar Mohd Shariff berkata, dalam serbuan jam 1.30 pagi pada 27 Disember itu, lapan lelaki berusia antara 25 hingga 35 tahun ditahan di premis berkenaan.

Katanya, serbuan dilakukan dalam Operasi Bersepadu Khas yang turut disertai anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak.

"Hasil pemeriksaan di bengkel berkenaan, polis berjaya menemui sepucuk pistol jenis revolver, sepucuk pistol tiruan, 49 butir peluru 9 milimeter (mm), sepasang gari, enam bilah parang dan sebiji bom tangan tiruan.

"Turut dirampas dadah jenis syabu dianggarkan seberat 55 gram, heroin (25 gram) dan ganja (163 gram). Ketika serbuan, lapan lelaki yang berada di dalam bengkel berkenaan turut ditahan dan ujian air kencing terhadap kesemua suspek didapati positif syabu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama 14 hari sehingga 9 Januari ini untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (A) Akta Senjata 1960, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 7 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X