Rabu, 4 Januari 2017 | 7:04pm

Maersk, Alibaba tawar khidmat tempah ruang kontena


SYARIKAT kontena kapal terbesar dunia Maersk bekerjasama dengan Alibaba bagi membolehkan ruang dalam kapal kontena ditempah secara online. - Foto hiasan

SHANGHAI: Syarikat kontena kapal terbesar dunia Maersk bekerjasama dengan Alibaba bagi membolehkan ruang dalam kapal kontena ditempah secara online, langkah yang dilihat memintas ejen penghantar tradisional yang selama ini bertindak sebagai orang tengah.

Maersk, anak syarikat A.P. Moller-Maersk berpangkalan di Denmark, mula menawarkan perkhidmatan itu kepada pengirim China yang menempah menerusi laman web OneTouch milik Alibaba pada 22 Disember, kata jurucakap syarikat perkapalan itu.

Secara tradisinya pengirim akan berurusan dengan orang tengah, iaitu ejen penghantaran, bagi menempah ruang pada kapal kontena, tetapi syarikat perkapalan seperti Maersk kini membenarkan pemilik kargo untuk menempah penghantaran secara langsung menerusi internet.

Syarikat e-dagang mula menceburi aktiviti logistik bagi meraih lebih kawalan ke atas rangkaian rantaian bekalan. Amazon.com melantik anak syarikat di China sebagai ejen penghantaran dan menyewa pesawat bagi mengendalikan penghantaran ke Amerika Syarikat.

Alibaba, pemilik platform e-dagang terbesar China, kebelakangan ini mula meluaskan perkhidmatan logistik dengan membeli kepentingan dalam syarikat kurier dan membeli gudang penyimpanan.

Diambil alih Alibaba pada 2010, OneTouch menyasar pengeksport bersaiz kecil dan sederhana China dengan menawarkan perkhidmatan dalam talian merangkumi kebenaran kastam dan logistik.

Ia juga membenarkan mereka menempah pengangkutan udara dan perkhidmatan penghantaran barangan dalam menyokong perniagaan pasar maya perniagaan-kepada-perniagaan Alibaba.com. - Reuters

140 dibaca
Berita Harian X