Rabu, 4 Januari 2017 | 11:03pm

Courtois tidak risau corak bertahan Spurs


Thibaut Courtois

LONDON: Penjaga gawang Chelsea, Thibaut Courtois tidak melihat aksi bertemu Tottenham Hotspurs sebagai aksi penentu, sebaliknya perlawanan itu tetap sama seperti perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang lain.

Anak buah Antonio Conte yang gah mendahului liga berkunjung ke White Hart Lane bertemu musuh tetangga mereka pada awal pagi nanti dengan sasaran untuk meraih kemenangan ke-14 berturut-turut dalam liga.

Meskipun dengan prestasi semasa Spurs yang cemerlang, Courtois percaya perlawanan itu tidak sesukar seperti menghadapi pasukan lain yang lebih gemar memperaga corak permainan bertahan.

"Setiap perlawanan adalah sama, tidak kira bertemu pasukan di kelompok atasan," katanya kepada Times of India.

"Anda perlu bekerja keras apabila bertemu pasukan yang lebih gemar bertahan dan sukar untuk ditembusi seperti ketika menentang West Brom," katanya.

Chelsea bakal meraih rekod yang pernah dilakukan Arsenal sebelum ini sekiranya berjaya mencatat kemenangan ke-14 berturut-turut dan Courtois mengakui skuad bimbingannya itu sudah melebihi jangkaan musim ini.

"Musim ini berlalu dengan baik dan kami gembira dengan mata yang dikutip.

"Berkunjung ke Tottenham tidak mudah dan selepas itu kami akan berkunjung ke Leicester. Dua perlawanan yang sukar.

"Berdasarkan momentum ketika ini, saya boleh katakan yang kami melakukan lebih baik daripada yang dijangka berbanding musim lalu.

"Kami berada di kedudukan pendahulu dengan pungutan mata jauh lebih baik berbanding musim lalu serta musim ketika kami muncul juara, dua musim lalu." - Agensi

34 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »