Khamis, 5 Januari 2017 | 12:07am

Mazhab Shafie tegas wajib ibadah khatan

AHLI Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak yang berkhatan pada Program Berkhatan Perdana di Kompleks Rakan Muda Baling. - Foto fail NSTP/Safuri Kamarudin
AHLI Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak yang berkhatan pada Program Berkhatan Perdana di Kompleks Rakan Muda Baling. - Foto fail NSTP/Safuri Kamarudin

SOALAN : Apakah hukum berkhatan dalam Islam?

Jawapan: Berkhatan adalah ibadah yang wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam.

Perkara ini sabit menerusi arahan Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Abu Huratrah daripada Nabi SAW bersabda: "Lima perkara fitrah manusia iaitu berkhatan, istihdad, cabut bulu ketiak, potong misai dan memotong kuku." (al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, Mazhab Shafie menegaskan bahawa amalan berkhatan adalah wajib bagi kaum lelaki dan wanita.

Keengganan berbuat demikian akan menyebabkan mereka berdosa kerana telah melanggar kewajipan yang disyariatkan Islam dari zaman Nabi Ibrahim lagi. Selain Nabi Ibrahim ia juga turut menjadi syariat Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 123 yang bermaksud: "Kemudian Kami wahyukan kepada mu (wahai Muhammad): hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik."

Turut diriwayatkan juga bahawa Nabi Ibrahim pernah berkhatan ketika usia Baginda 80 tahun. Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Nabi Ibrahim berkhatan di suatu tempat yang bernama al-Qaddum (terdapat riwayat menjelaskan ia bermaksud alt untuk berkhatan) dan ketika itu Baginda berusia 80 tahun." (Riwayat al-Bukhari)

Meskipun begitu, tidak dinafikan terdapat juga mazhab fiqah yang berpendapat amalan berkhatan ini hanya dikategorikan sebagai sunat dan tidak sampai ke tahap wajib seperti mana yang dijelaskan oleh Mazhab Shafie. Asas kepada pandangan ini ialah hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Berkhatan adalah sunah bagi golongan lelaki dan kemuliaan bagi wanita." (Musnad Imam Ahmad)

Bagaimanapun, pandangan tersebut tidak boleh diguna pakai di negara ini memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan prinsip Mazhab Shafie.

Atas dasar itu, mewajibkan amalan berkhatan ke atas semua umat Islam sama ada lelaki mahupun wanita adalah sangat wajar. Ini kerana ia sejajar dengan sunnah rasul, selain itu ia juga sangat menepati kehendak perubatan yang sememangnya memelihara kesihatan umat Islam daripada sebarang penyakit kelamin dan seumpamanya.

Penulis ialah pensyarah Fiqh Kepenggunaan Semasa Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X