Khamis, 5 Januari 2017 | 10:50am

Ringgit dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit menamatkan kerugian semalam untuk dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini berikutan sokongan belian yang lebih baik apabila harga minyak global yang lebih tinggi melonjakkan pasaran.

Pada 9.06 pagi, ringgit disebut pada 4.4870/4900 berbanding dolar AS daripada 4.4960/4990 pada Rabu.

Peniaga berkata, peningkatan harga minyak disokong oleh tanda-tanda kejatuhan inventori minyak mentah di AS dan pemotongan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mampu melonjakkan hasil minyak dan gas di Malaysia.

"Sesetengah pelabur juga melihat peluang itu apabila ringgit jatuh ke paras terendah dalam tempoh 19 tahun kepada 4.4980 berbanding dolar AS kerana mereka percaya mata wang tempatan akan kembali pulih disokong oleh harga komoditi yang lebih tinggi," katanya.

Berbanding sekumpulan mata wang utama, ringgit diniagakan lebih rendah.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1216/1248 daripada 3.1099/1126 semalam dan turun berbanding yen kepada 3.8541/8584 daripada 3.8202/8231.

Unit tempatan juga lemah berbanding pound British kepada 5.5347/5407 daripada 5.5197/5239 yang dicatatkan semalam dan lebih rendah berbanding euro kepada 4.7248/7293 daripada 4.6929/6974. - BERNAMA

Berita Harian X