Khamis, 5 Januari 2017 | 12:07pm

Jauhi jalan raya utama untuk elak cepat nyanyuk

JALAN raya utama di London.

LONDON: Penduduk berhampiran jalan raya sibuk yang dipenuhi kenderaan berhadapan risiko lebih tinggi mengalami nyanyuk berbanding mereka yang tinggal lebih jauh.

Kajian yang disiarkan dalam jurnal perubatan The Lancet mendapati penduduk dalam lingkungan 50 meter dari jalan raya banyak kenderaan mempunyai 7.0 peratus peluang lebih tinggi mengalami nyanyuk berbanding mereka yang tinggal lebih 300 meter dari jalan raya sibuk.

"Pencemaran udara boleh meresap ke dalam aliran darah, membawa kepada keradangan yang dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular dan kemungkinan masalah lain seperti diabetes.

"Kajian menunjukkan pencemaran udara boleh memasuki otak menerusi saluran darah yang membawa kepada masalah neurologi," kata pakar alam sekitar dan kesihatan pekerjaan di Pusat Kesihatan Awam Ontario (PHO), Ray Copes.

Copes mengadakan kajian dengan rakannya dari Institut Sains Penilaian Klinikal Kanada.

Nyanyuk disebabkan penyakit otak, paling biasa adalah Alzheimer's, yang menyebabkan kehilangan sel otak dan menjejaskan memori, pemikiran, tingkah laku dan kemampuan spatial dan kemampuan melakukan aktiviti setiap hari.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bilangan penghidap nyanyuk mencecah 47.5 juta pada 2015, dan ia meningkat pantas kerana jangka hayat yang semakin panjang dan penduduk dunia tua semakin ramai.

Masalah yang tiada penawar itu menjadi punca ketidakupayaan dan mula mengambil alih penyakit jantung sebagai punca utama kematian di beberapa negara maju.

Pasukan penyelidik Copes menganalisis rekod lebih 6.5 juta penduduk Ontario berusia 20 hingga 85 tahun dan mendapati 243,611 kes nyanyuk antara 2001 dan 2012.

Mereka kemudian mengukur sejauh mana penduduk tinggal dekat dengan jalan raya utama menggunakan poskod.

Peningkatan risiko menghidap nyanyuk menurun kepada 4.0 peratus jika penduduk menetap 50 hingga 100 meter dari aliran trafik utama, dan 2.0 peratus jika tinggal dalam lingkungan 101 hingga 200 meter. Pada jarak lebih 200 meter, risiko semakin berkurangan.

Penyelidik juga meneroka kaitan antara menetap berhampiran jalan raya utama dan penyakit Parkinson's dan sklerosis berbilang, dua gangguan saraf utama tetapi hasil kajian tidak menunjukkan sebarang risiko.

Saintis berkata, hasil kajian mereka boleh digunakan untuk membantu perancang bandar mengambil kira keadaan trafik dan pencemaran udara apabila kawasan bandar menjadi lebih padat. - REUTERS

Berita Harian X