Khamis, 5 Januari 2017 | 1:54pm

Didenda berceramah tanpa tauliah

PENCERAMAH bebas, Kadaryono Hafizh Nursalam, 61 didenda RM900 oleh Mahkamah Rendah Syariah kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah di sebuah surau di Senawang, Negeri Sembilan - Foto Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN: Seorang penceramah bebas didenda RM900 di Mahkamah Rendah Syariah hari ini, atas tuduhan menyampaikan ceramah tanpa tauliah di Senawang, malam tadi.

Hakim Syarie Hamizan Mohd Nor, membuat keputusan itu selepas Kadaryono Hafiz Nursalam, 61, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Dia dituduh mengajar agama tanpa tauliah yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan di surau Taman Alamanda, Senawang di sini, jam 8.27 malam tadi.

Kadaryono didakwa mengikut Seksyen 3(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2004 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Pendakwa Syarie Kanan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Zarul Izham Jaapar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X