Khamis, 5 Januari 2017 | 10:10pm

Nota tulisan mendiang Diana dilelong


DIANA, Harry, William dan Charles di London pada 1995. - Foto fail AFP

LONDON: Beberapa siri nota tulisan tangan mendiang Puteri Diana yang mendedahkan anak bongsunya selalu berdepan masalah di sekolah, dilelong, hari ini.

Enam nota yang bakal dilelong di rumah lelongan Cheffins di Cambridge itu, ditulis kepada ketua pembantu Istana Buckingham yang sudah berkhidmat selama 50 tahun.

Kebanyakan nota itu berkisar mengenai dua puteranya, Putera William dan Harry.

Satu nota bertarikh 20 September 1984, lima hari selepas Harry dilahirkan, berbunyi: "William sangat menyayangi adindanya dan menghabiskan keseluruhan masa dengan memeluk dan mencium tanpa henti, hingga sukar bonda dan ayahanda mendekati!"

"Reaksi terhadap kelahiran si kecil ini benar-benar membuatkan kami terharu dan saya hampir tidak boleh bernafas dalam timbunan bunga yang tiba di sini!"


NOTA tulisan tangan Puteri Diana yang dihantar kepada Cyril Dickman pada 1992.


DALAM nota yang dihantar pada April 1992, Diana menulis mengenai kematian bapanya.


ENAM nota yang bakal dilelong di rumah lelongan Cheffins di Cambridge.

Satu lagi nota bertarikh 17 Oktober 1992 menceritakan betapa kedua-dua putera muda itu berada dalam keadaan sihat dan menyukai suasana sekolah berasrama, walaupun Harry sering berdepan kesukaran.

Antara barang lain yang dilelong keluarga Dickman ialah surat, kad dan gambar keluarga diraja lain termasuk Putera Charles, Puteri Margaret, Ratu Elizabeth dan Putera Philip.

Seluruh koleksi terkumpul itu dianggar bernilai 15,000 pounds (RM82,880). - REUTERS

691 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »