Jumaat, 6 Januari 2017 | 4:49pm

Henti sebar cerita saya mati - Aiman Tino

PENYANYI popular, Aiman Tino. - Foto Munira Abdul Ghani
PENYANYI popular, Aiman Tino. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Aiman Tino, 18, kesal dengan penyebaran cerita kononnya beliau terbunuh dalam kemalangan pagi tadi.

Remaja yang cukup dikenali dengan lagu Ku Rela Dibenci ini berharap orang ramai tak mudah percaya dengan khabar angin sedemikian dan berhenti menyebarkannya.

"Inilah kali pertama saya dipalitkan dengan cerita kematian seperti ini. Sebagai selebriti, saya sudah bersedia dengan apa saja kemungkinan, termasuk berdepan berita palsu seperti ini. Ia satu fitnah daripada orang yang tidak bertanggungjawab.

"Saya berharap orang di luar sana berbuat perkara yang berfaedah dan menjaga hati serta perasaan orang lain. Sesungguhnya fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh," kata Aiman kepada BH Online.

Pagi tadi, cerita kononnya penyanyi yang baru saja muncul dengan single Permata Cinta itu meninggal akibat kemalangan mula tersebar di kalangan netizen dengan sebahagiannya memuat naik berita tidak benar berkenaan di laman sosial masing-masing.

Aiman mengaku dirinya sendiri turut menerima panggilan daripada rakannya yang ingin mendapatkan pengesahan mengenai berita terbabit.

Dalam perkembangan lain, artis naungan Aries Music Production itu rancak mengadakan persiapan untuk beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-31 pada 22 Januari ini.

Beliau melayakkan diri ke pertandingan akhir yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu menerusi lagu ciptaan A.C.K dan Riena, Ku Rela Dibenci.

"Saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar. Dalam teruja untuk beraksi buat kali pertama di pentas AJL, saya juga gementar kerana bakal bersaing dengan ramai penyanyi hebat tanah air," katanya yang akan turut menjayakan siri roadshow AJL 31 di Berjaya Times Square, di sini, 2 petang esok.

Berita Harian X