Jumaat, 6 Januari 2017 | 7:37pm

Graduan KV dapat kerja 3 bulan selepas graduasi

PUTRAJAYA: Sebanyak 83.1 peratus graduan Kolej Vokasional (KV) mendapat pekerjaan mengikut bidang pilihan dalam tempoh tiga bulan selepas graduasi, sekali gus membuktikan mereka menerima pengiktirafan industri.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, lulusan KV perlu merebut peluang untuk bersaing dalam industri pekerjaan dan menjadi pemangkin kepada negara berpendapatan tinggi.

Katanya, graduan KV boleh melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda menggunakan laluan Program Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), iaitu proses pengakreditan pengalaman pembelajaran terdahulu daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

"Mereka boleh melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda jika mempunyai kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) yang disetarakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tiga kredit.

"Ia membabitkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Akademik, 3.33; PNGK Vokasional, 3.67; Kepujian Bahasa Melayu (1104) dan kompeten semua Modul Vokasional.

"Mereka juga perlu mendapat kelulusan khas Kementerian Pendidikan Tinggi sehingga akreditasi penuh program diploma diperoleh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BH hari ini melaporkan pelajar lepasan KV tidak layak melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda walaupun mempunyai DVM kerana universiti awam (UA) tidak mengiktiraf diploma terbabit.

Kenyataan itu turut menyebut, Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) bertujuan menjadikan pendidikan vokasional sebagai arus perdana setanding aliran pendidikan perdana.

"Transformasi ini mencorak landskap baharu kepada sistem pendidikan negara berteraskan pencapaian kompetensi kemahiran dan akademik.

"Matlamat TPV melahirkan tenaga kerja separuh mahir dan mahir dengan sasaran 70 peratus ke pasaran kerja, 20 peratus melanjutkan pengajian dan 10 peratus menjadi usahawan," katanya.

Berita Harian X